Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pahang komited kekalkan status rizab biosfera Tasik Chini - MB

Kerajaan Pahang komited dalam usaha mengekalkan status Rizab Biosfera Tasik Chini di Pekan, yang berjaya mengekalkan status itu di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO), kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. 

Beliau juga menyifatkan keputusan mesyuarat International Coordinating Council of Man and the Biosphere Programme ke-35 (ICC MAB35) mengekalkan status Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini juga sebagai 'sangat bermakna kepada kerajaan negeri'. 

"ICC MAB35 membuat keputusan ini berdasarkan syor Jawatankuasa Penasihat Antarabangsa mengenai Rizab Biosfera (IACBR) dengan mengambil kira usaha yang telah diambil kerajaan negeri bagi menambah baik pengurusan Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini," katanya menerusi kenyataan di Kuantan hari ini. 

Antara usaha itu, menurut Wan Rosdy ialah mengemas kini pengezonan bagi mengekalkan fungsi Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini, mewartakan Hutan Simpan Kekal Chini, menubuhkan Perbadanan Taman Negeri Pahang dan melaksanakan moratorium terhadap aktiviti perlombongan. 

Semalam, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad memaklumkan keputusan ICC MAB35 yang berlangsung di Paris, Perancis mengekalkan status Tasik Chini selepas semakan berkala kawasan tapak itu menepati kriteria Kerangka Statutori Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR) selain mengambil kira syor IACBR.

Tasik Chini merupakan tapak rizab biosfera pertama di Malaysia yang mendapat pengiktirafan pada 2009 dan di Malaysia terdapat dua lagi tapak rizab biosfera iaitu Banjaran Crocker, Sabah dan Bukit Bendera, Pulau Pinang yang masing-masing mendapat pengiktirafan pada 2014 dan 2021.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS