Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata tiada bukti untuk mengaitkan kerajaan Filipina dalam tuntutan yang dibuat oleh lapan individu yang mengaku sebagai waris kesultanan Sulu terhadap Malaysia.

Anwar berkata, Malaysia tidak akan berkompromi dengan sebarang tuntutan yang dikemukakan oleh mana-mana pihak berhubung kedaulatan negara.

"Tidak ada bukti sama sekali campur tangan kerajaan Filipina. Malaysia tidak akan berkompromi dalam mana-mana tuntutan," katanya di Dewan Rakyat, hari ini ketika memberi penjelasan berhubung isu itu.

Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) bagaimanapun menegaskan bahawa Filipina sehingga kini enggan menggugurkan tuntutan mereka ke atas Sabah, yang dapat dilihat dengan keengganan untuk menubuhkan suruhanjaya tinggi mereka di negeri itu.

Anwar berkata, ketika pertemuannya dengan Presiden Filipina Ferdinand Romualdez Marcos Jr, dia telah mengulangi pendirian Malaysia mengenai status Sabah sebagai sebuah negara berdaulat.

"Isu yang dibangkitkan ialah tentang tuntutan kerajaan Filipina. Pendirian kita tegas, dan mereka tahu.

"Hubungan dua hala kita masih baik, tuntutan masih ada, tetapi tidak menjejaskan kepentingan Sabah sebagai satu wilayah berdaulat.

“Saya ingin memberi jaminan, ini adalah isu kedaulatan negara. Kita akan terus mengambil semua tindakan yang difikirkan perlu,” kata Anwar.

Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul

Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul, yang mempengerusikan sidang itu, pada mulanya berkata tidak akan ada perbahasan berhubung taklimat perdana menteri itu.

Bagaimanapun, dia membenarkan dua lagi Ahli Parlimen Sabah - Shafie Apdal (Warisan-Semporna) dan Isnaraissah Munirah Majelis (Warisan-Kota Belud) - untuk mencelah ketika sesi berkenaan.

Isnaraissah bangkit menceritakan bagaimana dia digantung dua hari apabila membantah ketetapan Speaker Dewan Rakyat ketika itu Azhar Azizan Harun yang menyekat perbahasan mengenai rampasan aset Petronas oleh pihak yang mengaku pewaris kesultanan Sulu.

"Saya tidak menentang sesiapa dalam dewan ini tetapi saya mahu kita sebagai rakyat Malaysia bersatu (dalam isu ini)," katanya.

Pada 7 Jun Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan cabaran Malaysia terhadap anugerah yang diberikan pada 25 Mei 2020 oleh Gonzalo Stampa dalam kes yang difailkan oleh lapan rakyat Filipina yang mengaku sebagai waris kesultanan Sulu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS