Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kertas Putih Kesihatan dibentang di Dewan Rakyat hari ini

Kertas Putih Kesihatan dijangka dibentang dalam persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan laman rasmi Parlimen, usul Kertas Putih itu dijadual dikemukakan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa selepas berakhirnya sesi perbahasan dan penggulungan usul Laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Sebanyak 17 Ahli Parlimen sempat membahaskan usul Laporan Suhakam sebelum mesyuarat ditangguh semalam, manakala lima lagi akan menyambung perbahasan sebelum sesi penggulungan hari ini.

Sabtu lepas, Dr Zaliha dilapor mengesahkan bahawa Kertas Putih Kesihatan yang merangkumi dasar komprehensif dalam mereformasikan sistem kesihatan untuk dilaksana secara berperingkat selama 15 tahun telah dipersetujui Kabinet untuk dibentangkan dalam persidangan Dewan Rakyat minggu ini.

Dr Zaliha Mustafa

Sementara itu, antara yang menjadi tumpuan dalam sesi soal jawab hari ini ialah pertanyaan daripada Pang Hok Liong (PH-Labis) yang ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat memperluas perlindungan sosial kepada golongan B40 dan memperuntukkan baucar kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) untuk menyertai pelan perlindungan.

Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) pula meminta penjelasan jika SPRM akan diletakkan di bawah seliaan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi memastikan kawalan tata tertib efektif dan meningkatkan integriti agensi itu.

Beberapa soalan juga akan diajukan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) antaranya daripada Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) tentang usaha kementerian itu untuk menjaga kebajikan atlet veteran yang telah mengharumkan nama negara, terutamanya atlet Paralimpik.

Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) pula mahu KBS menyatakan pelan jangka panjang untuk meluaskan akses kepada kemudahan sukan dan rekreasi bagi mewujudkan keseimbangan antara kehidupan dengan kerja dalam kalangan rakyat.

Persidangan Dewan Rakyat berlangsung selama 11 hari dan akan berakhir esok.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS