Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Empat kerajaan gagal temui jawapan kehilangan beberapa rakyat Malaysia’
Diterbitkan:  Jun 13, 2023 4:57 PM
Dikemaskini: 8:57 AM

PARLIMEN l Malaysia bukanlah negara mafia, namun sehingga kini masih gagal mengesan kehilangan beberapa orang rakyatnya sehingga mencetuskan tanda tanya.

Hassan Abdul Karim (PH- Pasir Gudang), berkata empat kerajaan sehingga kini masih gagal menemui jawapan berhubung kehilangan beberapa orang rakyat Malaysia secara misteri.

Hassan Abdul Karim (PH- Pasir Gudang)

Ia membabitkan kehilangan kehilangan aktivis sosial, Amri Che Mat, Pastor Joshua Hilmy dan isterinya dari Indonesia, Ruth Siteph serta Pastor Raymond Koh pada 2017.

"Joshua Hilmy rakyat Malaysia hilang, perkara ini serius kerana negara kita bukan negara mafia.

"Amri (Che Mat) juga hilang bertahun-tahun apa kesudahan ini. Sudah empat kerajaan (namun) tak boleh selesaikan isu rakyat kita ini.

"Negara kita bukannya negara mafia, (kerajaan) kena selesaikan," katanya ketika membahaskan laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) 2020 di Parlimen, hari ini.

"Kita tak payah fikir macam mana pesawat MH370 hilang tak tahu ke mana? Jalankan tugas, mesti ada penyudah kepada episod ini," tambahnya lagi.

Kelmarin, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan kerajaan terlalu sensitif untuk mendedahkan laporan berhubung kehilangan Amri secara terhad kepada isterinya Norhayati Mohd Ariffin.

Menterinya, Saifuddin Nasution Ismail, berkata perkara berkenaan berada dalam perhatiannya dan akan dibawa ke peringkat atasan susulan Peguam Negara telah mengemukakan rayuan bagi penangguhan pendedahan laporan itu di mahkamah.

"Jadi apabila peguam negara (telah) kemukan rayuan, (dan) mahkamah kemudian putuskan untuk stay of execution (penangguhan) diberikan, saya sudah tentu akan teliti perkara itu.

Amri Che Mat

"Sebelum (ini) Jawatankuasa Siasatan ditubuhkan ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) semasa Dr Mahathir (Mohamad) menjadi Perdana Menteri, jadi kita (akan) selesai satu persatu.

"Saya (juga) menolak sama sekali (dakwaan atau tuduhan) kerajaan sensitif atau tidak mahu (mendedahkan laporan)... tidak timbul perkara itu, proses (berkenaan) akan berlaku, dan saya (sendiri) akan tengok perkara itu," katanya seperti dilaporkan media.

Pada 6 Jun lalu, seorang saksi dalam kes kehilangan secara paksa membabitkan Pastor Koh pada 2017 menyifatkan keseluruhan operasi itu "dilakukan secara profesional".

Pastor Raymond Koh

Peguam Roeshan Celestine Gomez memberi keterangan untuk keluarga Koh ketika perbicaraan penuh berhubung saman mereka agar polis mendedahkan keberadaan Koh, yang telah hilang sejak lebih enam tahun lalu

“Keseluruhan kerja dilakukan secara profesional, mereka ada sumber,” saksi pertama itu memberitahu peguam keluarga, Jerald Gomez semasa pemeriksaan utama di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Sementara itu Hassan meminta Suhakam menyatakan pendiriannya dalam siri laporan akan datang pendirian berhubung penggantungan Parlimen serta darurat dilaksanakan ketika pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Pada waktu itu kerajaan dipimpin bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin yang juga presiden Bersatu.

"Laporkan pendirian Suhakam apakah bersetuju dengan darurat dan setuju Parlimen digantung.

"Jelasnya penggantungan Parlimen adalah bertentangan dengan hak asasi manusia saya sebagai rakyat biasa dan juga ahli Parlimen," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS