Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
LCS: Apa yang Syed Saddiq bebal sangat, soal pemimpin PKR
Diterbitkan:  Jun 13, 2023 1:43 PM
Dikemaskini: 7:05 AM

Ketegangan antara PKR dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) memuncak apabila perdebatan berkait skandal projek kapal tempur pesisir (LCS) berterusan.

Dalam kenyataan terbaru Timbalan Ketua Penerangan PKR, Razeef Rakimin membidas dan mempersoalkan apakah Ahli Parlimen Muar Syed Abdul Rahman “terlalu bebal” untuk memahami keputusan speaker Dewan Rakyat yang menolak usul bagi membahaskan isu LCS.

Ia selepas Syed Saddiq yang juga presiden Muda menegaskan dia akan terus bersuara berhubung isu LCS meskipun berdepan ugutan.

Razeef dalam kenyataannya bertanya: “Apa yang Syed Saddiq bebal sangat tak faham?”

Menurutnya, kenyataan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ahad lalu merupakan teguran atas kebiadaban Syed Saddiq yang memutar belit fakta usul ditolak.

"Namun hari ini beliau memutar belit teguran AMK sebagai satu ugutan supaya beliau tidak menyuarakan isu rakyat dan ini sangat tidak benar," katanya.

Skandal LCS merujuk kepada projek di mana Boustead Naval Shipyard (BNS) sepatutnya menyerahkan kapal pertama daripada enam kapal kepada tentera laut.

Kapal pertama sepatutnya dihantar pada 2019. Pada masa ini, tiada kapal yang hampir siap.

Bulan lalu, Putrajaya memutuskan untuk menyelamatkan BNS dan meningkatkan pembiayaan kepada RM11.2 bilion. Selain itu, BNS hanya perlu menghantar lima kapal berbanding enam kapal sebelum ini.

Pada Khamis lalu, Syed Saddiq mengemukakan usul tergempar untuk membahaskan perkara itu di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, usul itu ditolak Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul atas beberapa sebab.

Syed Saddiq berkata Johari bersikap tidak adil terhadapnya dan mendakwa usul untuk membincangkan skandal kapal tempur pesisir (LCS) ditolak kerana Speaker menganggap ia “bukan soal kepentingan orang ramai” dan “bukan keperluan mendesak”.

Johari bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan sebaliknya menjelaskan bahawa dia menolak usul itu antara lain kerana Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) belum mengeluarkan laporan mengenai perkembangan terbaru isu berkenaan.

AMK pada Ahad lalu membidas Syed Saddiq kerana didakwa cuba "mengalihkan tiang gol" selepas usul untuk membincangkan skandal LCS itu ditolak.

AMK berkata presiden Muda itu menggambarkan seolah-olah Dewan Rakyat dan kerajaan telah secara tidak langsung mengelak dan cuba melindungi siasatan LCS.

Sementara itu Razeef berkata, Pakatan Harapan (PH) tidak pernah lari dari usaha menyelesaikan pembinaan kapal dengan kadar segera disamping siasatan bagi mengheret individu yang menyeleweng projek tersebut.

"Berkenaan peningkatan kos yang berpunca dari perubahan dan penambahan spesifikasi serta inflasi juga telah dijawab namun beliau (Syed Saddiq) masih mengulangi soalan sama seolah terlalu 'bebal' untuk memahami," tambahnya.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat menjelaskan mengapa kerajaan memutuskan untuk membayar tambahan RM2.1 bilion bagi menyambung semula projek LCS yang tertangguh selama beberapa tahun.

Katanya, mengikut Kontrak Tambahan Keenam (SA6) yang ditandatangani baru-baru ini, ia memerlukan tambahan 83 bulan bagi tempoh pembinaan.

PAC kini sedang menjalankan siasatan baru ke atas skandal LCS, manakala BNS juga dijangka memberikan laporan kemajuan kepada kerajaan setiap suku tahun.

Perbalahan antara PKR dan Muda mengenai LCS hanyalah yang terbaru dalam siri pertikaian antara kedua-dua parti selepas Muda antara lain belum diterima untuk menyertai gabungan PH.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS