Paling Popular
Terkini

Bekas Naib Presiden MIC C Sivarraajh dilucutkan sebagai ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti itu berkuatkuasa semalam.

Ketika dihubungi, ahli dewan negara itu mengesahkan perkara tersebut kepada Malaysiakini.

"Ya, saya telah dilucut sebagai ahli CWC.

"Namun, tiada alasan diberikan," katanya.

Sivarraajh dilantik sebagai ahli CWC selepas kalah pada pemilihan parti bagi jawatan naib presiden pada 2021.

Malaysiakini sedang menghubungi ibu pejabat MIC untuk mendapatkan komen.

Sivarraajh juga adalah bekas ketua pemuda parti itu menang di kerusi parlimen Cameron Highlands pada PRU14 dengan majoriti 597 undi.

Namun, pada Nov 2018, Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan calon BN itu selepas memutuskan berlakunya amalan rasuah.

Susulannya, pada PRU15, Sivarraajh bertanding di kerusi parlimen Padang Serai. Bagaimanapun, pemilihan kerusi itu ditangguh selepas calon PKR, yang juga penyandangnya M Karupaiya meninggal dunia ketika tempoh berkempen.

Susulan, kerjasama antara BN dan PH, Sivarraajh bersetuju memberi laluan dan menyokong tanpa syarat calon PH untuk memenangi PRK di kawasan itu, pada 7 Dis 2022.

Pada Mac 2023, dia dilantik sebagai ahli dewan negara.

Sementara itu, satu sumber MIC memberitahu bahawa Sivarraajh dilucut sebagai ahli CWC setelah dia gagal menghadiri program 'Madani Government: Educational Development and Future of Indians' di Shah Alam pada Sabtu yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Program itu dianjurkan oleh Biro Pendidikan MIC dengan sokongan Mitra (Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia).

"Sivarraajh selaku pemimpin MIC dan ahli Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas, tapi tidak hadir ke program itu," kata sumber itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS