Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Miskin punca keciciran pelajaran, kata timbalan menteri

Kemiskinan adalah antara punca utama murid di negara ini mengalami keciciran pelajaran, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying.

Oleh itu kerajaan melalui Kementerian Pendidikan (KPM) memperkenalan 13 bantuan bagi membantu murid supaya tidak keciciran pelajaran.

Katanya kadar keciciran membabitkan murid sekolah rendah iaitu 0.07 peratus, manakala 0.99 peratus membabitkan pelajar sekolah menengah.

"Faktor keciciran adalah disebabkan kemiskinan, KPM perkenalkan 13 bantuan.

"Bantuan itu adalah Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP), Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM), Bantuan Awal Persekolahan (BAP), Bantuan Makanan Asrama (BMA), Bantuan Perjalanan dan Pengangkutan Murid Asrama (PPM) dan Bantuan Pakaian Seragam Badan Beruniform (BPS).

"Selain itu, pelbagai bantuan seperti pinjaman buku teks serta khidmat guru bimbingan dan kaunseling dan guru pemulihan turut disediakan bagi menyokong minat murid untuk meneruskan persekolahan," katanya pada sesi pertanyaan lisan di Parlimen hari ini.

Lim menjawab soalan Muhamad Ismi Mat Taib (PN- Parit) yang meminta Kementerian Pendidikan menyatakan langkah diambil pada waktu ini bagi membantu para pelajar di peringkat sekolah rendah dan menengah yang telah tercicir pengajian disebabkan masalah kemiskinan.

Menjawab pertanyaan itu, Lim menjelaskan, KPM merujuk definisi keciciran sebagai murid warga negara Malaysia yang berada dalam sistem pendidikan (bersekolah) tetapi keluar daripada sistem sebelum tamat tempoh pendidikan.

Dalam pada itu, KPM juga menyedari bahawa isu kehadiran murid juga terkesan sekiranya ibu bapa terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk menghantar anak ke sekolah terutamanya yang terletak jauh dari rumah.

Katanya, kehadiran murid ke sekolah bergantung kepada kemampuan ibu bapa yang secara umumnya berpendapatan rendah.

"Justeru, bagi memastikan akses kepada pendidikan diberi keutamaan, KPM memperluaskan sekolah komprehensif 9 atau K9 dari 12 buah sedia ada kepada 17 buah.

"Matlamat utama sekolah K9 diwujudkan bagi menangani isu keciciran di kawasan pedalaman, terutamanya bagi murid yang menghadapi kesukaran untuk meneruskan pendidikan ke peringkat menengah atas faktor lokasi ke sekolah menengah yang jauh, bentuk muka bumi yang mencabar dan sosio ekonomi keluarga," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS