Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saya akan terus bersuara isu LCS meski diugut - Saddiq 
Diterbitkan:  Jun 12, 2023 1:13 PM
Dikemaskini: 5:26 AM

PARLIMEN | Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan terus bersuara berhubung isu pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS) meskipun berdepan ugutan.

Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berkata tidak wajar mereka yang sebelum ini memperjungkan isu berkenaan, kini berdiam diri setelah mendapat kuasa.

Syed Saddiq berkata, lebih malang lagi apabila individu yang sebelum ini lantang memperjungkan isu LCS kini mengancam untuk mengambil tindakan terhadapnya kerana membangkitkan isu berkenaan di Parlimen.

"Jangan kita lupa suara rakyat apabila kita berada di tahta kuasa. Saya akan terus bersuara, nak ugut-ugutlah, ini babitkan duit rakyat berbilion ringgit.

"Saya berani kerana benar, ini isu kepentingan rakyat," katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Syed Saddiq berkata, amat malang sekali isu yang berlarutan sejak sekian lama bernilai RM9 billion pada awalnya kini kosnya meningkat kepada lebih RM11 billion dengan pembinaan kapal dikurangkan.

Bahkan sehingga kini tiada tangkapan besar dilakukan oleh pihak berkuasa membabitkan skandal berkenaan.

Syed Saddiq berkata demikian sebagai mengulas keputusan speaker Dewan Rakyat yang menolak usulnya bagi membahaskan isu LCS.

Projek LCS adalah perolehan pertahanan terbesar dalam sejarah Malaysia dengan kos keseluruhan RM9 bilion.

Projek itu mendapat perhatian banyak pihak pada tahun lalu selepas Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan tiada satu pun kapal disiapkan walaupun kerajaan sudah membelanjakan RM6.08 bilion.

Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) memperoleh projek LCS secara rundingan terus.

"Saya ingin adakan perbahasan kerana isu ini penting. Isu ini amat besar besar dan mustahak.

"Tapi yang pelik apabila tiba-tiba nak ambil tindakan kepada saya kerana menyuarakan keresahan rakyat (berhubung isu LCS)," kata Syed Saddiq lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS