Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Penganalisis: PRN medan ujian bagi kerjasama Umno-DAP

Jika dahulu Umno mengetuai BN, kini peranannya sebagai salah hanya satu daripada 19 parti dalam pentadbiran kerajaan Madani pimpinan Anwar Ibrahim menimbulkan pergtanyaan mengenai kelangsungan parti berkenaan.

Dengan hanya memenangi 26 kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu, adalah jelas parti itu telah kehilangan sebahagian besar pendukungnya.

Namun, apa yang kurang jelas, termasuk kepada ahli parti itu, adalah bagaimana Umno dapat bertahan bersama rakan baru terutamanya dalam menghadapi enam pilihan raya negeri akan datang.

Lebih-lebih lagi Umno kini bersama bekas musuh tradisinya, DAP yang sebelum ini dituduh membawa agenda "anti-Melayu".

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, dalam ucapannya ketika perhimpunan Agung Umno cuba menenangkan penyokong parti itu dengan mengatakan Umno bukanlah political chamelon atau mengkarung politik yang boleh bertukar warna bila-bila masa.

Namun, Ketua Pemuda Umno Johor, Noor Azleen Ambros, ketika membahas ucapan dasar presiden berkata tidak ada sebab bagi orang Melayu untuk memilih Umno jika parti sekadar mencukupkan bilangan dan angka.

Noor Azleen juga menegaskan Umno harus menjelaskan bahawa kedudukan mereka dalam kerajaan adalah berdasarkan persefahaman politik dan bukan didasari atas keserasian nilai dan prinsip.

Bercakap kepada Malaysiakini, pakar geostrategi Universiti Teknologi Malaysia, Azmi Hassan, berkata, walaupun pemimpin-pemimpin Umno memahami perlunya bekerjasama dengan bekas musuh mereka, masih terdapat rasa tabu di kalangan akar umbi.

Azmi berkata pemimpin-pemimpin Umno juga terlepas peluang untuk menggunakan PAU sebagai platform untuk menunjukkan bahawa mereka "lebih kuat daripada DAP", walaupun komponen PH itu mempunyai jumlah kerusi terbanyak dalam parlimen.

"Seharusnya Umno mempamerkan mereka lebih kuat dari DAP. Umno walaupun bersama dalam kerajaan mampu menongkah DAP, walaupun DAP mempunyai kerusi paling banyak. Ini adalah untuk memberi tafsiran bahawa walaupun bekerjasama, Umno boleh mengawal DAP.

"Saya rasa ini naratif yang perlu digunakan, tapi saya rasa ia digunakan sedikit sahaja semasa ucapan ketua pemuda (Dr Akmal Saleh)," kata Azmi.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Kartini Aboo Talib, berkata perbezaan ideologi merupakan halangan utama dalam kerjasama Umno-DAP.

"Umno dan Anwar berdepan cabaran sukar untuk menyakinkan ahli Umno Melayu yang tinggi semangat nasionalisme untuk menyokong DAP yang dilihat prososialis," katanya.

Enam negeri yang akan mengadakan pilihan raya - Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, dan Terengganu - dijangka membubarkan dewan undangan negeri masing-masing dalam beberapa minggu akan datang, bermakna masa yang singkat diperlukan bagi pemimpin-pemimpin Umno untuk meyakinkan akar umbi

Kartini berkata PAS dan Bersatu - yang giat berusaha menarik sokongan bukan saja penyokong Umno, malah pemimpinnya untuk bergabung dengan mereka.

Katanya keadaan itu bukan sahaja akan menguji sokongan terhadap Umno, tetapi juga kepemimpinan Zahid dalam parti itu.

Katanya, Zahid hanya dilihat sebagai pemimpin ang kuat sekarang kerana berjaya menyingkirkan musuh dan pengkritiknya dari dalam parti.

“Zahid kini goyah Kenapa? Di PAU tak dengar suara ‘undur Zahid’ dan lain-lain.

“Kukuh dalam Umno bagi puak yang mahukan Kerajaan Perpaduan terus kukuh. Tetapi majoriti Melayu menolak beliau…yang tinggal hanyalah pak turut,” katanya.

Azmi berkata permbersihan dalam Umno menyaksikan pemimpin seperti Khairy Jamaluddin dipecat telah meletakkan Zahid pada kedudukan yang kukuh.

Namun tegasnya, Zahid masih memerlukan Umno untuk beraksi cemerlang dalam pilihan raya negeri.

"Umno perlu dikatakan memenangi sebanyak mana kerusi, dan paling penting, sekiranya calon Pakatan Harapan menang, kena dibuktikan bahawa mereka menang kerana undi Umno,” ujarnya.

'Faktor Najib'

Selain menjawab isu yang dibangkitkan oleh pemimpin dan perwakilan Umno dalam ucapan mereka, Zahid juga mengingatkan ahli parti itu bahawa tidak pernah melupakan tuntutan mereka agar bekas perdana menteri Najib Razak dibebaskan dari penjara.

Timbalan Pengarah Urusan Bower Group Asia, Asrul Hadi Abdullah Sani berkata tindakan Zahid itu adalah bagi menangkis dakwaan bahawa dia telah melupakan bekas presiden parti itu dan kini hanya menurut kehendak Anwar.

“Ia adalah percubaan Zahid untuk menunjukkan bahawa sokongan kepadanya adalah sokongan kepada Najib.

"Walaupun ia boleh menenangkan mereka dalam parti, ia tidak mungkin menaikkan semangat akar umbi parti dan menarik mereka yang telah meninggalkan parti.

“Melainkan Najib dibebaskan dari penjara, tidak mungkin Zahid akan dapat menarik undi untuk parti itu pada pilihan raya negeri.

"Walaupun ada sorakan gemuruh di perhimpunan agung parti, Zahid masih menjadi pemecah belah dalam Umno," kata Asrul.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS