Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Mahasiswa perlu diberi ruang suarakan kritikan - Anwar

Universiti perlu memberikan ruang kepada mahasiswa untuk memberikan teguran dan kritikan secara terbuka, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Menurut Anwar, dia akan bertemu dengan naib-naib canselor universiti dalam masa terdekat berhubung perkara itu.

"Dalam masa terdekat jumpa semua VC negara ini. Bahawa iklim di universiti harus lebih terbuka dan bebas.

"Anak-anak patut diberi ruang berikan pandangan teguran dan kritikan. Baru boleh angkat mutu universiti yang cemerlang," katanya dalam sesi “Temu Anwar” di Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang hari ini.

Semasa sesi soal jawab bersama mahasiswa itu, Anwar turut ditanya mengenai langkah mengembalikan semula ‘Speaker Corner’.

Menurut perdana menteri dia bersetuju pentas itu dikembalikan semula sambil berseloroh, "Naib-naib canselor, sila ambil perhatian."

Speaker Corner pernah popular di universiti pada tahun-tahun 1960-an, namun program berkenaan terhalang dengan pelaksanaan Akta Universiti dan Kolej Universiti pada tahun 1971.

Dalam perkembangan lain, Anwar menegaskan ahli politik perlu banyak membaca dan menggunakan pengetahuan mereka untuk menyelamatkan rakyat, bukannya bermain politik murahan.

Tanpa menamakan mana-mana tokoh politik, Anwar menyebut mengenai kenyataan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa “Pulau Pinang milik Kedah”.

"Betul tak Kedah punyai Pulau Pinang? Ya, itu dulu. Ada perubahan? Ya. Siapa tandatangani? Sultan Kedah. Bila? Pada tahun 1948, paling akhir 1957.

"Untuk apa? Untuk menyatakan setiap negeri termasuk Pulau Pinang dan Kelantan dan lain-lain itu menjadi sebahagian Persekutuan Tanah Melayu

"Tradisi membaca itu harus, kalau tidak tengok kita perbincangan sekarang Kedah ambil alih Pulau Pinang sebab ada (dalam) buku sejarah. Sebab itu saya kata little knowledge is dangerous, ada juga half truths turn absolute (separuh kebenaran menjadi mutlak)," katanya.

Sanusi sebelum ini mendakwa Pulau Pinang adalah milik Kedah dengan mengatakan hal itu disokong oleh kajian akademik dan mengatakan Perlembagaan Persekutuan boleh dipinda untuk membetulkan "penyelewengan sejarah".

Dakwaan tersebut mendapat kritikan daripada pemimpin dari Pulau Pinang dan kerajaan pusat, termasuk sekutu PAS iaitu Gerakan.

Semasa sesi Soal Jawab Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada 6 Jun lalu, Anwar sekali lagi menegaskan bahawa status Pulau Pinang sebagai negeri yang berasingan daripada Kedah telah pun diselesaikan sebelum Tanah Melayu merdeka, dan telah disahkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Semua perjanjian lalu yang ditandatangani dengan British juga menurutnya telah diisytiharkan sebagai tidak sah.

Pada 8 Jun lalu, polis mengesahkan telah merakam keterangan daripada Sanusi berhubung kenyataan kontroversi itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS