Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM: Biasiswa JPA bidang perubatan, pergigian dan farmasi diteruskan

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan meneruskan pemberian biasiswa kepada pelajar yang melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi.

Menurutnya, keputusan menghentikan tajaan di bawah JPA adalah dasar kerajaan terdahulu.

"Minggu lalu ada perjumpaan khas dengan JPA dan mereka katakan itu dasar sedia lama, dasar yang lalu.

“Saya minta dasar dikaji semula berdasarkan unjuran keperluan sektor perubatan, farmasi, pergigian,” katanya semasa sesi “Temu Anwar” di Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang hari ini.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata kementeriannya sedang berbincang dengan JPA berhubung keputusan menghentikan penajaan jabatan berkenaan dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi.

Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata KKM juga sedia mengkaji semula kajian dilakukan pada 2019 yang mendapati bekalan pegawai perubatan akan mengalami kebanjiran mulai 2026 hingga 2030.

"Kita tahu ada perubahan, terutamanya selepas pasca COVID-19 ini, jadi mungkin ada perkara baharu yang perlu dilihat semula pada kajian tersebut, mungkin pada polisi baharu.

"Kita bimbang juga (pelajar tidak berminat nak sambung pelajaran) perkara itu boleh berlaku. Kita akan lihat kajian yang telah dilakukan itu, supaya keputusan terbaik dapat dibuat,” katanya seperti dilaporkan hari ini.

Sebelum ini dilaporkan JPA membuat keputusan menghentikan penajaan pelajar yang melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi berikutan kajian kementerian kesihatan berkaitan lebihan bekalan kakitangan perubatan.

Dalam jawapan bertulis di parlimen pada 8 Jun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Armizan Mohd Ali berkata keputusan JPA itu dibuat kerana terdapat lebihan bekalan kakitangan perubatan dari 2026 hingga 2030.

Armizan berkata jumlah pegawai perubatan pada 2021 ialah seramai 72,812, melebihi permintaan iaitu sebanyak 70,721 orang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS