Pemuda PKR (AMK) membidas Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq kerana didakwa cuba "mengalihkan tiang gol" selepas usul untuk membincangkan skandal kapal tempur pesisir (LCS) ditolak oleh speaker Dewan Rakyat Johari Abdul.
AMK dalam satu kenyataan hari ini, berkata Presiden Muda itu menggambarkan seolah-olah Dewan Rakyat dan kerajaan telah secara tidak langsung mengelak dan melindungi siasatan LCS.
Ini selepas Syed Saddiq memberitahu Dewan Rakyat bahawa surat yang diterimanya daripada pejabat speaker menyatakan usul itu ditolak atas alasan ia "bukan kepentingan orang ramai" dan “bukannya keperluan yang mendesak".
"AMK menempelak Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq yang dilihat mengalihkan tiang gol terhadap isu sebenar penolakan usul yang cuba dibawanya kepada Dewan Rakyat oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat tempoh hari.
"Isu sebenarnya adalah usul yang dikemukakan oleh beliau kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat adalah dianggap sebagai tidak lengkap kerana tidak menyatakan secara jelas tiga pernyataan penting iaitu “perkara tertentu, berkehendak disegerakan atau berkenaan kepentingan orang ramai” dengan setiap elemen tersebut perlu digariskan pewajarannya; bukan bersandarkan hanya kepada isu yang ingin dibangkitkan,” kata AMK dalam kenyataan.
Menurutnya, tindakan Syed Saddiq dan Muda terus menerus menyebarkan misinformation atau kenyataan separa benar (half-truth) yang memburukkan kerajaan secara tidak adil adalah perkara yang harus diteliti dan ditegur oleh Sekretariat Kerajaan Perpaduan.
Tambahnya, perkara itu juga perlu diambil kira dalam penilaian terhadap permohonan Muda untuk menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan (PH).
Pada 8 Jun lalu, Johari berkata Syed Saddiq bersikap tidak adil terhadapnya kerana mengandaikan dia menganggap isu LCS tidak melibatkan soal kepentingan orang ramai.
Johari sebaliknya menjelaskan bahawa dia menolak usul itu antara lain kerana Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) belum mengeluarkan laporan mengenai perkembangan terbaru isu berkenaan.
Sebagai respons di Twitter, Syed Saddiq berkata jawapan itu menunjukkan sikap hipokrit kerajaan.
“Sebelum PRU, (mereka kata) 'ini lagi teruk dari 1MDB! Rompakan terbesar! Penjarakan penjenayah LCS'
"Selepas PRU: Tunggulah laporan, sabarlah. Hipokrit," katanya.