Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hari Puisi akan diadakan bergilir-gilir di setiap negeri mulai tahun ini

Hari Puisi Malaysia (HPM) akan diadakan secara bergilir-gilir di setiap negeri bermula tahun ini, kata Presiden Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) Radzuan Ibrahim.

Beliau berkata Melaka dipilih untuk menjadi tuan rumah bagi sambutan kali ke-3 HPM Selasa ini (13 Jun) dengan majlis perasmian di Auditorium Tun Seri Lanang, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri (JKKN), Ayer Keroh, di Melaka disempurnakan oleh Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh.

“Langkah membawa HPM keluar daripada ibu negara akan diteruskan dengan gerakan-gerakan gagasan melestarikan MADANI sebagai satu proses mengubah dan mengajak masyarakat memahami persembahan puisi dalam kehidupan,” katanya dalam kenyataan di Melaka hari ini.

Katanya sambutan HPM ke-3 itu telah bermula sejak awal bulan ini dengan pertandingan mencipta puisi serta video baca puisi yang disiarkan di media sosial, dan keputusan pertandingan akan diumumkan pada HPM di Melaka, dengan hadiah-hadiah disampaikan oleh Ketua Menteri.

HPM diisytiharkan pada 13 Jun 2021 oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya ketika itu Nancy Shukri (kini Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat), dalam Majlis Semarak Puisi anjuran DBP serta PEMUISI.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS