Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KJ akan bersama PN, kata Takiyuddin
Diterbitkan:  Jun 11, 2023 12:44 PM
Dikemaskini: 4:44 AM

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin sudah menyatakan pendirian untuk bersama Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, bekas ahli Parlimen Rembau itu menemui Pengerusi PN Muhyiddin Yassin baru-baru ini namun tiada keputusan dibuatnya setakat ini.

"Setakat ini dia belum memutuskannya lagi, tetapi dia sudah menyatakan pendirian tetap bersama kita (PN).

"Dia dah jumpa (Muhyiddin) dan akan berjumpa lagi dalam masa terdekat, itu perkembangan terbaru, namun setakat ini belum ada keputusan.Tetapi saya percaya dalam waktu terdekat," katanya seperti dilapor BH Online, hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan Muhyiddin menawarkan Khairy jawatan majlis pimpinan tertinggi (MPT) sekiranya menyertai Bersatu.

Khairy dipecat daripada Umno pada Januari lalu dalam langkah Presidennya Ahmad Zahid Hamidi membersihkan parti itu.

Sementara itu Takiyuddin berkata, pihaknya berharap Khairy dapat bersama dalam PN kerana ketokohan dan ketrampilannya dalam kepemimpinan kanan Umno sebelum ini.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan

"PN mengharapkan 'sesuatu' daripada dia (Khairy) sebab sebagai seorang pimpinan kanan dalam sebuah parti yang besar, tiba-tiba dipecat daripada parti itu.

“Sudah tentu dia perlukan satu platform yang sesuai untuk masa depan politiknya dan pada masa ini PN adalah paling sesuai," kata ahli Parlimen Kota Bharu itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS