Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid: Seorang Najib ke penjara, banyak lagi 'Najib' baru muncul

PAU 2023 | Walaupun bekas perdana menteri Najib Razak sedang dipenjarakan namun perjuangannya tetap diteruskan oleh ramai lagi ahli parti, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

"Seorang Najib dimasuk penjara, tiga Najib baru muncul di Dewan Merdeka.

"Insya Allah bukan setakat itu di atas pentas dan dewan ini juga banyak lagi Najib-Najib baru akan muncul bagi meneruskan perjuangan Najib Razak," kata Zahid dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Umno 2023 hari ini.

Tiga anak tersebut adalah Nizar Najib, Nooryana Najwa Najib dan Nazifuddin Najib.

Najib mula menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas disabitkan atas kesalahan pengubahan wang haram berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Gambar fail.

Zahid memberitahu perwakilan dia dan Timbalan Menteri Dalam Negeri Shamsul Anuar Nasarah telah menziarahi Najib di penjara Kajang.

"Saya ingin kongsi bahawa, saya ingin melaporkan saya sendiri telah bertemu dengan Najib dan melawat beliau dalam penjara.

"Saya sempat bersarapan dengan beliau dan bawa semua makanan-makanan kegemaran beliau untuk kami makan bersama," katanya.

Zahid juga berkata Najib menyambung pengajian peringkat doktor falsafah (PHD) dalam penjara Kajang.

"Selepas tempoh 30 minit, saya hanya empat mata dengan Najib.

“Selama satu jam 30 minit bersama dengan beliau. Tidak perlu saya kongsikan apa yang kami bincangkan. 

"InsyaAllah, komitmen MKT Umno - yang mendapat mandat daripada bahagian-bahagian, cawangan - yakinlah bahawa MKT terus komited untuk membela Najib supaya diberikan keadilan," kata Zahid lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS