Paling Popular
Terkini

PAU 2023 | Nooryana Najwa Najib hari ini menitiskan air mata semasa mengakhiri ucapannya dengan memanjatkan bacaan doa buat ayahnya yang kini di penjara.

Berucap di Perhimpunan Agung Umno tahun 2023, anak bekas perdana menteri itu berkata ayahnya perlu diberikan 'keadilan' yang sewajarnya.

"Najib tetap sedih kerana masih tidak boleh bersama kita pada hari ini," katanya sebak.

Dia turut berdoa supaya Najib segera dibebaskan dari penjara.

"Kembalikan dia kepada kami ahli keluarga, kepada Umno dan kepada rakyat jelata.

"Kami benar rindukan dia, kami perlu semangat dan jasanya untuk terus berbakti pada parti dan negara," doa Nooryana Najwa.

Beberapa perwakilan khususnya wanita turut dilihat sebak atau menangis ketika Najwa bermunajat.

"Ya Allah kami mohon berikan ketabahan kepada ayah saya, sesungguhnya hamba-hambamu ini sama ada di dalam atau luar dewan ini di rumah dan seluruh negara bermunajat dan berdoa kepadamu ya Allah selamatkan insan yang kami sayangi.

"Abadikan semangat kami bersamanya agar dia terus tabah menghadapi dugaan ini. Amin," kata anak perempuan kepada pasangan Najib dan Rosmah Mansor itu.

PAU 2023 merupakan yang kedua tidak dihadiri bekas presiden Umno itu selepas Najib dijatuhi hukuman 12 tahun dan denda RM210 juta bagi tujuh pertuduhan jenayah dalam kes membabitkan SRC International Sdn Bhd.

Terdahulu, Najwa yang juga exco Puteri Umno turut berkongsikan kandungan buku yang sentiasa dibawa bersama oleh Najib.

"Di mahkamah saya selalu melihat 'Bossku' memegang satu buku berwarna hitam.

"Saya sering tertanya-tanya apakah isi buku itu? Pada satu hari ketika Bossku ke tandas, saya curi-curi melihat buku, dan terbaca catitan Bossku yang menyentuh mengenai Umno.

"Sebagai penutup ucapan saya, saya kongsikan petikan luah hati Najib "jagalah rumah kita, jagalah ahli kita, jagalah bangsa kita, jagalah perjuangan kita, kerana Umno ini adalah amanah kita," katanya bersambut laungan 'Hidup Umno' daripada perwakilan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS