Paling Popular
Terkini

Selepas disingkirkan daripada Umno sejak lebih dua dekad lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini menghadiri ke Perhimpunan Agung Umno (PAU) sebagai tetamu kehormat.

Bekas timbalan presiden Umno yang dipecat pada tahun 1998, tiba ke Pusat Dagangan Dunia (WTC) jam 9 pagi tadi mengetuai parti komponen Kerajaan Perpaduan pada perasmian PAU 2023 kali ini.

Ketika ditanya apakah perasaan menghadiri ke PAU selepas 25 tahun, dia berkata menyempurnakan tugas kepada negara adalah lebih penting daripada pengalaman peribadi.

"Yang penting menyempurnakan tugas kepada negara. Pengalaman peribadi itu penting tetapi ia tidak boleh mengatasi kepentingan rakyat dan kepentingan negara. 

"Jadi saya hadir semula kerana saya gunakan platform perpaduan ini untuk memperkukuh kerajaan dan memberi manfaat kepada rakyat," katanya kepada pemberita sebelum meninggalkan perhimpunan pukul 11.30 pagi.

Presiden PKR itu sempat bergurau bahawa masih menghafal lagu Umno ‘Bersatu, Bersedia, Berkhidmat’.

"Saya tentunya rasa selesa dan senang dan biasa dengan suasana ini termasuk menghafal lagu itu. Saya masih ingat lagu itu," katanya.

Terdahulu, ketika majlis mengibarkan bendera Sang Saka Bangsa, Anwar berbaju Melayu biru muda yang merupakan warna bendera dan logo parti PKR dilihat menyanyikan lagu Umno bersama-sama para perwakilan.

Selain Anwar, Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal turut menghadiri ke PAU 2023 hari ini.

Ini kali pertama, bekas naib presiden Umno itu hadir ke majlis tersebut selepas dipecat daripada parti pada tahun 2016.

"Hampir 10 tahun saya rasa. Saya berasa biasa sahaja. 

"Saya telah pun datang sebelum waktu perhimpunan perpaduan," katanya secara ringkas kepada pemberita.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS