Paling Popular
Terkini

PAU 2023 | Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyelar pemimpin pembangkang yang didakwanya berselindung di sebaik agenda bumiputera, serta slogan bersih dan stabil.

Secara sinis Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata, agenda perjuangan itu sebenarnya telah "dijanawibawakan" oleh pembangkang.

"Kita juga biasa mendengar, tuduhan kepada Umno yang berselindung di sebalik nama bumiputera.

"Akan tetapi, tidak sampai pun dua tahun di puncak kuasa, bumiputera yang kononnya menjadi agenda perjuangan mereka, telah dijanawibawakan.

"Inilah ciri-ciri pengkhianat yang membalut dirinya dengan slogan bersih dan stabil kononnya," katana ketika menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung Umno 2023 di Kuala Lumpur, hari ni.

Perhimpunan Agung Umno kali ini turut dihadiri Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Jana Wibawa merupakan inisiatif diperkenalkan kerajaan semasa ia diketuai Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, selaku perdana menteri. Selain Bersatu, kerajaan ketika itu turut dianggotai PAS selain Umno sendiri.

Program dengan nama penuh Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa itu dibuat sebagai langkah kerajaan membantu kontraktor bumiputera yang terjejas akibat wabak Covid-19.

Pada 10 Mac lalu, Muhyiddin didakwa di mahkamah berhubung projek Jana Wibawa dan isu berkaitan

Muhyiddin menghadapi pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Sementara itu isu kerajaan Kelantan - yang ditadbir oleh PAS - turut mendapat perhatian Ahmad Zahid dengan menyamakan pemimpin negeri terbabit seperti keadaan air paip di sana.

"Banyak agenda pembangunan asas, terutama di Kedah dan Kelantan, memerlukan perubahan-perubahan besar.

"Islam itu bersih. Bersih di luar dan bersih di dalam. Untuk bersih, Islam memerlukan air bersih.

"Soal keperluan air bersih umpamanya di Kelantan, seolah-olah jalan penyelesaiannya tidak kunjung tiba.

"Apakah mereka tidak diberi peluang? Tiga puluh tiga tahun menjadi pemerintah di negeri dan wakil mereka pernah menjadi menteri yang menjaga air, air karat masih gagal dijernihkan.

"(Bagaimana) Karatnya air begitu jugalah karatnya hati mereka," katanya lagi.

Oleh itu kata Ahmad Zahid, sudah tiba masanya anak-anak Kelantan, Kedah dan Terengganu yang kini ada di perantauan memikirkan nasib ibu bapa masing-masing di kampung yang ditadbir PAS.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS