Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Panasonic sahkan penutupan kilang di Johor, 880 kakitangan terjejas

Panasonic AVC Networks Johor Malaysia Sdn Bhd (PAVCJM) mengesahkan penutupan dua saluran pengeluaran di kilangnya di Pasir Gudang, Johor, yang akan menjejaskan 880 pekerja.

Malaysiakini minggu lalu melaporkan mengenai kemungkinan penutupan saluran pembuatan membabitkan tiga syarikat di bawah kumpulan Panasonic di Malaysia, termasuk Panasonic Manufacturing Malaysia Bhd (PMMA) yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

Pengesahan PAVCJM menjadikan jumlah pekerja yang bakal terjejas akibat penstrukturan semula kumpulan Panasonic di Malaysia kepada lebih 1,000 pekerja.

Dalam satu e-mel, Pengarah Urusan PAVCJM Hidekazu Ennouji berkata syarikat itu akan menghentikan pengeluaran produk audio menjelang akhir Mac 2024.

Saluran pengeluaran untuk produk tersebut akan dipindahkan ke Panasonic AVC Networks Kuala Lumpur Malaysia Sdn Bhd (PAVCKM) di Seksyen 21, Shah Alam, mulai Oktober.

“Ini adalah untuk mengukuhkan daya saing produk dan memperkemas kemudahan pengeluaran di Malaysia,” tambahnya.

Penyusunan semula itu akan menjejaskan kira-kira 560 pekerja yang terlibat dalam pembuatan produk audio.

Pindah ke China

Ennouji juga mengesahkan pemberhentian pengeluaran kamkorder digital menjelang akhir September tahun depan dan akan menyatukan pengeluarannya kepada Panasonic AVC Networks Xiamen (PAVCX) di China.

“Ini adalah untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran di peringkat global. Pemindahan produk camcorder kepada PAVCX akan bermula pada September 2024.

"Kira-kira 320 pekerja akan terjejas menjelang akhir Disember tahun depan," katanya.

Mengenai skim pampasan yang ditawarkan kepada pekerja yang terjejas, Ennouji berkata, bahawa faedah persaraan tambahan dan lain-lain akan dibayar "atas niat baik" mengikut undang-undang dan peraturan negara ini.

Dia menegaskan bahawa PAVCJM sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan, agensi kerajaan serta United Workers of Electronics & Electrical Industries untuk memastikan semua pekerja yang terjejas akan dibantu semasa peralihan ini, termasuk mencari penempatan pekerjaan.

Penutupan kilang di Melaka

Minggu lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa PAVCJM sedang membuat persiapan untuk penutupan sebelum akhir tahun ini.

Ia juga memperincikan penutupan jabatan pembuatan periuk nasi dan peralatan dapur PMMA antara 2022 dan Mac tahun ini. Penutupan itu memberi kesan kepada kira-kira 210 pekerja.

PMMA, yang terletak di Shah Alam, juga memberitahu Malaysiakini bahawa penstrukturan semula itu tidak berkaitan dengan tindakan undang-undang yang diambil terhadap bekas kakitangan dan syarikat pembekalnya atas dakwaan penipuan. PMMA kalah dalam kes itu tahun lepas.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS