Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Majlis media tak berkesan jika masih ada akta menindas'

Majlis Media tidak akan berfungsi dengan baik jika undang-undang "menindas" masih wujud dalam sistem, kata ahli akademik Universiti Nottingham Malaysia Zaharom Nain.

Zaharom menegaskan bahawa undang-undang seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984 dan Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 akan menghalang majlis itu daripada membebaskan media seperti yang ingin dilakukan.

Berucap pada Forum Kebebasan Media Sedunia 2023 di Kuala Lumpur hari ini, dia juga berkata menteri berkaitan tidak boleh mengambil mudah perkara ini.

“Sejak 1990-an, kita telah berusaha untuk melawan akta menindas ini. Kita ada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan serta Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Kita tidak boleh ada menteri berkata ‘kita belum fikir lagi’ (mengenai pemansuhan akta).

“Saya rasa kita perlu ada menteri dan pemimpin yang akan berkata ‘Ya, saya akan lakukan sesuatu mengenainya’ atau ‘Ya, saya telah melihatnya’.

“PPPA telah wujud sejak sekian lama... lihatlah, kaji, kritik dan hapuskannya kerana, dalam persekitaran seperti ini, anda tidak akan mempunyai majlis media yang sebenarnya berfungsi dengan baik,” kata ahli akademik itu.

Zaharom juga menyatakan bahawa dalam persekitaran yang dikawal oleh undang-undang yang zalim, penubuhan majlis media hanyalah satu langkah kecil ke hadapan untuk industri media di Malaysia.

Dia menyamakan majlis itu sebagai "plaster luka" untuk masyarakat yang memerlukan lebih banyak pembaharuan.

Awal hari ini, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata kerajaan masih belum berbincang untuk memansuhkan PPPA.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil

Fahmi yang turut hadir pada forum itu ditanya sama ada dia secara peribadi berpendapat akta itu perlu dimansuhkan, tetapi enggan memberikan ulasan.

Pada 28 Mei, Fahmi berkata kementeriannya komited untuk membentuk majlis media, dengan rang undang-undang itu dijangka dibentangkan di Parlimen pada Mac tahun depan.

Katanya, ini adalah komitmen kerajaan untuk terus meningkatkan kebebasan media dan membantu pengamal media menghadapi cabaran.

Fahmi berkata rang undang-undang itu dalam peringkat akhir penggubalan dan kementerian akan mengadakan sesi penglibatan dengan pemain industri media tidak lama lagi.

Sementara itu, wartawan Malaysiakini Aidila Razak yang juga ahli panel menyatakan majlis media itu mungkin tidak dapat menyelesaikan setiap masalah yang dihadapi pengamal media.

Bagaimanapun, dia menekankan bahawa ia berpotensi melindungi kakitangan berkaitan masalah dengan undang-undang.

“Satu masalah yang sering kita hadapi sekarang ialah litigasi strategik terhadap media, jadi kita mempunyai banyak saman fitnah, injunksi atau surat tuntutan.

“Ini, terutamanya di bilik berita, adalah perkara yang lebih kita bimbangkan berbanding dengan undang-undang penindasan lain yang kita hadapi.

“Kerana walaupun kita pergi ke mahkamah dan menang, itu sudah menelan kos ratusan ribu ringgit yang kita tidak ada dan itu boleh bermakna penutupan bagi beberapa syarikat media.

"Memiliki majlis ini akan melindungi kami dengan cara yang ada alternatif kepada laluan undang-undang seperti itu, (untuk) menyediakan timbang tara supaya kami tidak perlu takut jika mendapat surat tuntutan," katanya.

Aidila menjelaskan bahawa pengamal media masih boleh disaman dan didakwa mengikut pelbagai undang-undang walaupun dengan kewujudan majlis media.

Namun, dia berkata majlis itu boleh bertindak sebagai titik perhubungan pertama jika seseorang individu mempunyai isu dengan kandungan yang diterbitkan oleh media, dan bukannya mengambil tindakan undang-undang segera.

Sebaliknya, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia Chamil Wariya berkata pada masa ini terdapat lebih 40 ahli media dalam jawatankuasa pro-tem majlis itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia Chamil Wariya

Dia berkata bahawa anggotanya telah bertemu dengan Kementerian Komunikasi dan Digital dua kali, khususnya dengan Timbalan Menteri Teo Nie Ching, untuk membantu merangka rang undang-undang itu.

Wartawan veteran itu juga ditanya bagaimana majlis itu akan dibiayai - yang mana dia berkata jawatankuasa itu mencadangkan kepada kerajaan bahawa, untuk beberapa tahun pertama kewujudannya, ia akan bergantung kepada dana pembayar cukai.

“Kita belum menetapkan jumlah lagi tetapi (ia adalah) untuk memastikan dana itu mencukupi untuk majlis media berjalan dengan baik.

“Kita mahu dibiayai dengan wang daripada pembayar cukai hanya untuk beberapa tahun dan diharapkan selepas itu, kita akan memikirkan model baru untuk pembiayaan,” katanya.

Chamil kemudian menjelaskan tiga model pembiayaan alternatif yang telah dibuat oleh majlis itu, sama ada untuk bergantung kepada kerajaan, sumbangan daripada individu yang "bersemangat untuk memelihara kebebasan akhbar" atau sumbangan daripada industri media.

"Saya fikir terutamanya, majlis media mesti bebas dari segi kewangan," katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS