Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Tak munasabah BN Kelantan bolot 3 kerusi di satu parlimen’

Pakatan Harapan (PH) Kelantan menyifatkan sebagai tidak munasabah untuk BN membolot tiga kerusi di parlimen yang mempunyai empat kerusi dewan undangan negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) nanti.

Pengerusi PH Kelantan Muhammad Husain berkata pihaknya bersetuju dengan 14 kerusi yang diberikan namun pihaknya berharap tiga lagi kerusi tambahan.

Menurutnya, perlu diketahui bahawa terdapat tiga parlimen yang memiliki empat kerusi DUN, dan di setiap Parlimen itu PH Kelantan hanya memperolehi satu kerusi, manakala baki 3 kerusi lagi dituntut BN Kelantan.

“Adalah tidak munasabah apabila BN membolot tiga kerusi iaitu parlimen di Tumpat, Pasir Puteh dan Kuala Krai, sedangkan PH hanya dapat satu kerusi DUN di dalam parlimen tersebut.

“Pintu rundingan masih terbuka luas dalam suasana penuh harmoni dan semangat perpaduan, dan PH Kelantan optimis bahawa tuntutan tambahan kerusi ini adalah wajar dan melambangkan semangat perpaduan yang jitu, dalam kalangan PH dan BN Kelantan,” katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan BN dan PH Kelantan mencapai kesepakatan dalam pembahagian kerusi sebagai persediaan menghadapi pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Zawawi Othman

Ketua Penerangan Umno Kelantan Zawawi Othman berkata PH meminta 14 daripada 45 kerusi dewan undangan negeri (DUN) dan ia dipersetujui kedua-dua pihak.

"Ada kawasan parlimen yang PH minta bertanding di dua DUN, ada satu kerusi saja dan ada juga yang PH tidak bertanding di DUN dalam sesebuah Parlimen.

"Ini menunjukkan kerjasama dan proses agihan antara BN dan PH diselesaikan dengan baik serta berjalan lancar selain tiada bantahan berbangkit," katanya. 

Sementara itu tambah Muhammad pihaknya berharap selain daripada 14 kerusi yang diperolehi hasil rundingan tersebut, PH kelantan diberikan tiga lagi kerusi tambahan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS