Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tidak timbul isu DAP perlu minta maaf kepada Umno, kata Zahid

DAP sebagai rakan sekutu dalam Kerajaan Perpaduan tidak perlu memohon maaf kepada Umno yang didakwa pernah melemparkan pelbagai tohmahan terhadap parti Melayu itu.

Presidennya Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara berkenaan telah diselesaikan ketika rundingan penubuhan kerajaan pusat dan tidak seharusnya dibangkitkan lagi.

Zahid Hamid (tengah) diapit Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Penerangan Azalina Othman Said.

"Perkara itu tak perlu ditimbulkan lagi. Kerana mereka telah menyatakan perkara ini beberapa kali.

"Malah, di dalam rundingan untuk membentuk kerajaan pun perkara (agama dan bangsa) itu menjadi syarat utama untuk kita, dan mereka setuju 100 peratus.

"Tidak perlu kita ulangi perkara yang mereka persetujui," katanya kepada pemberita di Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda, Puteri Umno tahun 2023, di Kuala Lumpur hari ini.

DAP sebelum ini telah berulangkali bersetuju untuk mengiktiraf kedudukan Islam sebagai agama rasmi, keistimewaan dan hak orang Melayu serta Raja-Raja Melayu.

Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata demikian ketika diminta mengulas tuntutan Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh yang berkata tohmahan yang pernah dilemparkan oleh DAP terhadap Umno sebelum ini mengguris hari semua ahli parti itu.

Muhamad Akmal Saleh

Justeru, Akmal pada ucapan dasarnya, pagi tadi  menuntut DAP supaya meminta maaf secara terbuka kepada Umno sekiranya ingin melembutkan hati mereka.

Katanya, jika DAP boleh membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebelum ini, mengapa tidak kepada Umno.

"Pemuda Umno menuntut DAP perlu membuktikan segala tohmahan, pemikiran dan cakap yang kononnya DAP ini anti-Melayu, anti-Islam, rasis.. tidak sama sekali akan berlaku dalam kerajaan perpaduan ini.

"Kalau masa mahu tubuh kerajaan perpaduan dulu, DAP boleh terbang ke Sarawak berjumpa dengan GPS, minta maaf.

"Maka hari ini, kalau mahu lembutkan hati orang Umno, kalau suci mahu menjalin tali persahabatan, kita mohon DAP tarik balik tohmahan diberi kepada Umno dulu.

"Kalau jujur, kenapa dengan GPS boleh, kenapa tidak buat dengan kita,” soalnya.

Sementara itu, Zahid meminta ahli-ahli Umno agar tidak termakan dengan permainan dengan pihak-pihak yang cuba menumbangkan kerajaan perpaduan.

"Kita mempunyai prinsip bahawa kerjasama ini adalah antara BN dan PH. Maka, hasrat ini yang membentuk kerajaan.

"Jangan terbuai dengan permainan pihak-pihak yang memang tidak senang dengan kewujudan apatah lagi dengan kestabilan sekarang ini.

"Hakikatnya ialah bahawa kebersamaan antara BN dan PH ini telah terbentuk dengan keserasian yang semakin bertambah," katanya.

Katanya, pucuk pimpinan mempunyai kaedah tertentu untuk menjelaskan kerjasama BN-PH kepada akar umbi.

"Mungkin di peringkat akar umbi itu kita mempunyai kaedah-kaedah tertentu untuk kita melakukan penjelasan.

"Sesi townhall yang dilakukan oleh ketua penerangan perkara ini telah dijelaskan. Perkara ini tidak timbul lagi," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS