Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mat Hasan: Siapa nak percaya Umno lagi jika Kerajaan Perpaduan gagal

Matlamat politik Umno pada waktu ini jelas untuk mempertahan dan menjayakan Kerajaan Perpaduan, tegas Timbalan Presidennya Mohamad Hasan.

"Justeru, sangatlah penting untuk Umno mempertahankan Kerajaan Perpaduan ini. Kerana kita adalah ‘rumus’ yang menjelmakan jawapan kepada kecelaruan politik tanahair, pada waktu itu.

"Bayangkan implikasinya kepada Umno, jika kita mensia-siakan peluang ini. Jika kita tidak berprestasi, dan jika kita pula yang menjadi masalah kepada Kerajaan Perpaduan.

"Siapa lagi yang akan percaya kepada Umno selepas ini, jika kita gagal menjayakan kerajaan ini.

"Kita bukan sahaja, akan mengecewakan kepercayaan Raja yang kita kasihi.

“Kita juga akan menjadikan rakyat lebih muak dengan drama politik kita," katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri Umno 2023 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur malam ini.

Menurut Mohamad prestasi Umno dalam kerajaan akan menentukan, sama ada parti itu boleh dipercayai ataupun tidak pada pilihan raya umum akan datang.

"Kita tidak punyai pilihan," katanya.

Keputusan pilihan raya umum ke 15 (PRU15) menunjukkan buat kali pertama tidak ada parti yang mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan persekutuan.

Lantaran itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah mencadangkan pembentukan Kerajaan Perpaduan untuk menyelesaikan kemelut politik parlimen tergantung.

Bagaimanapun, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menolak cadangan tersebut kerana ia bertentangan dengan pendirian gabungan itu.

Sementara itu, Mohamad ketika berucap pada malam ini menjelaskan penyertaan Umno dalam Kerajaan Perpaduan bertujuan mewujudkan pentadbiran yang stabil.

"BN walau bagaimanapun, memilih untuk menuruti titah Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong.

"Di sebalik kekalahan kita, Umno mempunyai kesempatan yang unik, untuk memainkan peranan kritikal dalam penyelesaian kecelaruan politik pasca-PRU.

"Pada detik yang penuh ketidaktentuan itu, kitalah yang tampil ke hadapan untuk memastikan kestabilan negara.

Ijtihad politik Umno

"Jadi, dari sebuah parti yang tewas, Umno menjadi pelengkap kepada pembentukan kerajaan," kata Mohamad lagi.

Mohamad turut mengingatkan Umno supaya menerima dan hidup dengan kenyataan bahawa parti itu "telah tewas dengan dahsyat" pada PRU15.

"Kerana itulah, kita tidak boleh mendabik dada. Bercakap dan berhujah dalam penafian.

"Berlagak seolah-olah Umno ini keramat dan tersangat kukuh.

“Sedangkan, kita ditolak oleh rakyat Malaysia dengan kekalahan yang sangat mengesankan.

"Bersandarkan realiti dan kedudukan, bahawa kita telah tewas, maka kepimpinan Umno telah melakukan ijtihad politik, untuk bersama PH membentuk Kerajaan Perpaduan," jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS