Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Khan (Batu Sapi-GRS) senada dengan Mohd Suhaimi Abdullah (Langkawi-PN) untuk menolak cadangan agar hidangan b ah kut teh diiktiraf sebagai salah satu masakan tradisi di Malaysia.

Ini berikutan cadangan agar makanan itu - yang asal usulnya menjadi pertikaian antara rakyat Malaysia dan Singapura - diangkat sebagai makanan kebangsaan.

Khairul memberitahu Dewan Rakyat bahawa untuk sesuatu makanan itu diiktiraf, ia haruslah boleh dimakan oleh semua rakyat Malaysia.

Terdahulu, Suhaimi mempersoalkan adakah bak Kut Teh perlu dianggap sebagai makanan tradisi rakyat Malaysia.

"Saya sedikit sebanyak setuju (dengan ahli parlimen) Langkawi, kerana ia memerlukan satu prospek makanan yang boleh dimakan kesemua rakyat Malaysia.

"Kalau bak kut teh tu sediakan bak kut teh ayam, bolehlah Langkawi. Tapi kalau bak kut teh yang dibangkit (Ahli parlimen) Tebrau, dia tak bagi spesifik bak kut teh jenis apa. Makanan warisan ia harus boleh dirasai semua kaum di negara kita ini,” jelas timbalan menteri.

Khairul berkata demikian ketika menjawab soalan Jimmy Puah (Tebrau-PH), yang menanyakan usaha kementerian untuk memastikan makanan tradisi Malaysia seperti nasi lemak, bak kut teh dan laksa diiktiraf sebagai makanan kebangsaan bagi mengelak negara lain mendakwa sebagai milik mereka. .

Puah berkata, dia kecewa selepas menonton dokumentari yang disiarkan oleh Channel News Asia, sebuah agensi berita yang berpangkalan di Singapura, yang mengatakan makanan itu mungkin berasal dari republik itu.

“... Seperti yang kita sedia maklum, bak kut teh berasal dari Klang, Selangor,” dakwanya.

Bagaimanapun, Suhaimi bangun mempersoalkan apakah kewajaran makanan itu diiktiraf sebagai makanan kebangsaan.

"Saya nak bertanya sejak bila bak kut teh ni jadi makanan tradisi di Malaysia. Sebab dalam saya melihat 10 makanan tadisional paling popular di Malaysia tak ada bak kut teh.

"Soalan saya sejak bila bak kut teh (jadi makanan tradisi) dan adakah menteri setuju nak masukkan (sebagai warisan negara)?" soalnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS