Paling Popular
Terkini

Ketiadaan hampir separuh ahli parlimen pembangkang sepanjang sesi pembentangan, perbahasan dan penggulungan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 Siri Dua mendapat perhatian Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul hari ini.

Menjelaskan ia bukanlah amalan biasa ketika Dewan Rakyat bersidang, Johari mengambil kesempatan membangkitkan perkara itu ketika mempengerusikan persidangan pada sesi petang ini.

"Selalunya Dewan penuh, tetapi semalam pembangkang tak mahu terbabit dalam perbincangan atau perbahasan, jadi mereka buat keputusan untuk boikot dan meninggalkan Dewan sejak semalam hingga hari ini.

"Ini bukan amalan biasa, tapi agak luar biasa. Janganlah kita memberi anggapan ini adalah keadaan biasa dalam Dewan (tanpa pembangkang), ini tidak begitu. Isu ini agak terpencil (jarang berlaku)," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Turut bangkit mempersoalkan isu yang sama RSN Rayer (PH-Jelutong) menyifatkan yang ketiadaan pembangkang di sepanjang pembentangan usul itu menjadikan keadaan Dewan Rakyat lebih aman.

"Keadaan aman dan damai tanpa pembangkang," katanya.

Terdahulu, Johari yang juga bekas ahli Parlimen Sungai Petani mengalu-alukan kehadiran beberapa kumpulan pelajar ke Dewan Rakyat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS