Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menahan seorang ketua polis daerah di negeri ini kerana dipercayai menerima suapan lebih RM1 juta.
Suapan dikatakan diterima pegawai kanan polis berusia 53 tahun itu bagi melindungi aktiviti pusat hiburan dan pusat urut yang beroperasi di dalam daerah diketuainya.
Sumber SPRM Pahang memaklumkan, suspek ditahan ketika dipanggil untuk dirakam keterangan di ibu pejabat SPRM Pahang petang tadi.
"Suapan itu diterima pegawai kanan polis terbabit antara 2017 hingga 2022.
"Jumlah suapan diterima dianggarkan lebih RM1 juta untuk sepanjang tempoh kira-kira enam tahun itu," katanya.
Sementara itu Pengarah SPRM Pahang, Hairuzam Mohmad Amin @ Hamim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan, namun enggan mengulas lanjut.
Difahamkan, siasatan dijalankan mengikut seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Suspek dijangka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuantan, pagi esok bagi tujuan reman.
Dalam pada itu, Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman mengesahkan penahanan seorang pegawai kanan polis seperti laporan yang tular sejak lewat petang tadi.
Dia memberitahu pihaknya memberi ruang sepenuhnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan.
"Polis Pahang memberi jaminan tidak akan berkompromi dengan kegiatan salah laku, jenayah atau apa-apa perlanggaran undang-undang oleh pegawai dan anggota kami.
"Kita juga sedia memberikan kerjasama kepada pihak SPRM dalam menjalankan siasatan," katanya.