Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pastor Koh diculik cara profesional, seperti operasi polis - Saksi

Seorang saksi dalam kes kehilangan secara paksa membabitkan Pastor Raymond Koh pada 2017 menyifatkan keseluruhan operasi itu "dilakukan secara profesional".

Peguam Roeshan Celestine Gomez hari ini memberi keterangan untuk keluarga Koh ketika perbicaraan penuh berhubung saman mereka agar polis mendedahkan keberadaan Koh, yang telah hilang sejak lebih enam tahun lalu.

“Keseluruhan kerja dilakukan secara profesional, mereka ada sumber,” saksi pertama itu memberitahu peguam keluarga, Jerald Gomez semasa pemeriksaan utama di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Hari ini merupakan hari pertama prosiding di hadapan pesuruhjaya kehakiman Su Tiang Joo dalam perbicaraan saman sivil keluarga itu berhubung insiden yang menyaksikan Koh diculik dari kereta yang dinaikinya di Petaling Jaya, Selangor pada 13 Feb 2017.

Ketika memberi keterangan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung kehilangan Koh pada 19 Okt 2017, Roeshan berkata pegawai penyiasat (IO) dalam kes itu menyifatkan penculikan itu sebagai "sangat kelihatan seperti modus operandi operasi polis".

Peguam itu kemudian menerangkan apa yang diperkatakan IO itu kepadanya selepas dia membuat laporan polis di balai polis Kelana Jaya berhubung penculikan itu, kira-kira sejam selepas kejadian itu.

Pada 3 April 2019, Suhakam membuat kesimpulan bahawa penculikan Koh adalah kehilangan secara paksa yang melibatkan Cawangan Khas (SB) dari ibu pejabat polis persekutuan di Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Setahun kemudian isteri Koh, Susanna Liew Sow Yoke memfailkan writ saman di mahkamah sivil terhadap polis untuk memaksa pihak berkuasa itu mendedahkan keberadaannya.

Semasa berada di kandang saksi, Roeshan berkata dia dan seorang rakannya baru sahaja meninggalkan gereja St Ignatius di Kelana Jaya dan dalam perjalanan ke sebuah krematorium di Kampung Tunku apabila mereka melihat kekecohan di Jalan Bahagia sekitar jam 10.45 pagi hari itu. .

Saksi itu berkata, terdapat empat kenderaan SUV hitam mengelilingi sebuah kereta yang kelihatan seperti Proton Waja berwarna perak, dan kira-kira lima lelaki bertopeng dan berpakaian hitam tentera kelihatan menarik seorang lelaki keluar dari kereta berkenaan. .

Menjawab soalan Jerald, Roeshan berkata lelaki itu - yang kemudiannya dia dapati ialah Koh - cuba melawan mengakibatkan "berlaku tarik menarik", dan terdapat motosikal berlegar-legar di situ.

Saksi memberitahu mahkamah bahawa ketika rakannya hendak merakam kejadian itu di telefon miliknya, seorang lelaki yang kelihatan gelisah muncul di hadapan kereta mereka dan memberi isyarat kepadanya untuk menghentikan rakaman, dan dia segera meletakkan telefon.

Roeshan berkata, seorang lelaki kedua yang tidak bersenjata kemudian menghampiri kereta itu dengan tegas dan mengarahkannya berundur, sebelum dia akur kerana bimbang keselamatannya dan rakannya terancam.

Berlaku terlalu pantas

Saksi itu memberitahu terdapat penunggang motosikal yang memberi isyarat supaya dia meninggalkan tempat kejadian. Ketika itu dia berada antara 30 dan 40 meter daripada kejadian penculikan itu.

Roeshan berkata apabila dia mengundurkan kereta, kekecohan itu berakhir, dengan semua kereta lain memecut laju. Katanya kejadian itu berlaku begitu pantas sehingga dia tidak dapat mencatat nombor plat kenderaan berkenaan, termasuk sebuah kereta Toyota Vios berwarna keemasan.

“Semua SUV hitam dan Proton Waja berwarna perak dipandu pergi. Toyota Vios keemasan dan dua motosikal mengekori mereka selepas itu. Saya tinggal di tepi jalan yang sama selama kira-kira satu minit lagi.

“Selepas itu, saya meneruskan pemanduan di jalan yang sama dalam usaha mengekori mereka. Saya perasan kaca pecah di atas jalan. Saya tidak nampak barang lain seperti nombor plat kereta. Saya tidak dapat melihat mana-mana kereta mereka dan terus menuju ke upacara pembakaran mayat di Bukit Tunku,” kata Roeshan sambil menambah kejadian itu hanya berlangsung sekitar seminit.

Roeshan berkata dia mengandaikan Koh telah dilarikan kerana cermin keretanya dipecahkan seperti yang dapat dilihat pada serpihan kaca di jalan.

Peguam itu berkata selepas dia membuat laporan polis, dia menghadiri kawad pengecaman di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada 7 Julai 2017, di mana dia berkata tiada seorang pun daripada suspek sepadan dengan individu yang dilihatnya semasa kejadian.

Perbicaraan di hadapan Su bersambung esok. Peguam kanan persekutuan Nurul Farhana Khalid mewakili 13 defendan, termasuk polis dan kerajaan persekutuan.

Peguam defendan akan menyoal balas Roeshan esok.

Selain Koh, Suhakam juga memutuskan bahawa aktivis Amri Che Mat adalah mangsa kehilangan paksa melibatkan polis cawangan khas (SB) dan pasukan polis.

Amri telah diculik sekitar tengah malam pada 24 Nov 2016.

Pada November 2019, isteri Amri, Norhayati memfailkan saman terhadap 21 defendan berhubung kehilangan suaminya, termasuk beberapa defendan sama yang dinamakan dalam saman Liew.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS