PARLIMEN l Ahli Parlimen pembangkang hari ini cuba menghalang Lim Guan Eng (PH-Bagan) daripada mengajukan soalan berhubung isu Pulau Pinang milik Kedah yang dibangkitkan oleh menteri besarnya di Dewan Rakyat.
Sebelum sesi soal jawab bermula, dewan menjadi kecoh seketika apabila Ronald Kiandee (Bersatu-Beluran) membangkitkan Peraturan Mesyuarat 23 (1) (c) yang mempertikaikan pemilihan soalan nombor satu yang dikemukakan oleh Lim itu.
Dakwanya, soalan pemimpin DAP itu di senarai pertama dalam Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) bercanggah dengan Perkara 23 (1)(c) Peraturan-Peraturan Majlis Dewan Rakyat kerana mengandungi sangkaan tidak baik dan bersifat dangkal.
Bagaimanapun Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul berkata dia telah meneliti dan membuat pertimbangan sewajarnya berhubung soalan itu.
Ahli-ahli Parlimen pembangkang lain termasuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) dan Awang Hashim (PN-Pendang) turut bangkit menyokong bantahan berkenaan.
Namun, Johari tetap tegas dengan pendirian membenarkan soalan itu dikemukakan.
Ronald: Adakah Tan Sri ambil kira perkara ini?
Johari: Saya perhatikan soalan ini dan membuat keputusan bahawa soalan ia tidak bercanggah dengan apa yang Yang Berhormat sebut tadi.
Ronald: Yang Berhormat, nampak soalan ini soalan pilihan raya negeri, ia tidak sepatutnya dikeluarkan dalam dewan.
Johari: Biarlah Perdana Menteri jawab dalam dewan dan ia tidak bercanggah.
Sebelum itu, Lim meminta perdana menteri menjelaskan mengenai tindakan ke atas kenyataan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang mahu Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk “memadamkan Pulau Pinang” agar boleh dikembalikan kepada Kedah.
Ini katanya, kenyataan menteri besar PAS itu telah memecah-belahkan perpaduan rakyat khususnya menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk negeri Pulau Pinang serta mengancam keharmonian dan keselamatan dalam negara.
Jelas perdana menteri, kedudukan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri dalam Malaysia yang berasingan daripada Kedah jelas termaktub di bawah Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan.
Ia memperuntukkan bahawa Negeri-negeri Persekutuan adalah terdiri daripada Negeri-Negeri Tanah Melayu iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu, dan Negeri-Negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak.
Anwar berkata Fasal (3) Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan juga telah menjamin kedudukan Perlembagaan Negeri termasuk Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.
Justeru Anwar berkata isu itu tidak seharusnya dibangkitkan lebih-lebih lagi Malaysia ketika ini telah mencapai kemerdekaan dan merupakan sebuah negara berdaulat.
Bagaimanapun diatidak menafikan sejarah bahawa Pulau Pinang dan Seberang Perai adalah sebahagian daripada Kedah sebelum ini, namun ia kemudiannya berubah apabila Inggeris memperoleh Pulau Pinang dan Seberang Perai seperti mana kedudukan Melaka, Singapura, Sabah dan Sarawak.
Sehubungan itu, kata Anwar sejarah Kedah dan Pulau Pinang tidak perlu terus dipolemikkan untuk mengelakkan ia melanggar prinsip perlembagaan.
Dia seterusnya menyerahkan kepada peguam negara untuk mengambil tindakan sesuai berhubung kenyataan itu dan juga menasihatkan Muhammad Sanusi supaya menghentikan kenyataan berkenaan kerana ia jelas melanggar prinsip Perlembagaan yang telah diperkenankan oleh Raja-Raja Melayu.
"Apakah kerana nak gelojoh kuasa pilihan raya, kita korbankan prinsip Perlembagaan dan timbulkan huru-hara? … dan ini yang menyebabkan timbul permasalahan.
"Kita sudah merdeka lebih enam dekad, parti-parti memerintah sama ada Umno-BN, PAS-PH, sekarang PAS-PN, tidak pernah dibangkitkan (berhubung Kedah dan Pulau Pinang) melainkan seorang ketua yang tidak bertanggungjawab yang sanggup melanggar prinsip Perlembagaan," kata Anwar.