PARLIMEN | Dewan Rakyat tengah hari ini kecoh apabila ahli parlimen Perikatan Nasional membantah usul kerajaan untuk membahaskan Laporan Ketua Audit Negara 2021.
Ahli parlimen kerajaan kedengaran berkata "takut takut!" apabila ahli parlimen PN berdiri menyokong ketua whip mereka Takiyuddin Hassan, yang pertama kali membangkitkan bantahan tersebut.
Takiyuddin menyoal usul itu, mendakwa ia bertentangan dengan Perkara 107 Perlembagaan Persekutuan, dan tidak pernah dilakukan di parlimen.
"Kami (pembangkang) hujahkan bahawa... (laporan audit negara itu) hanya perlu dibentangkan saja di atas meja ahli-ahli parlimen dalam Dewan Rakyat dan ianya telah dilakukan 16 Feb 2023," kata ahli parlimen Kota Bharu itu.
Usul laporan Ketua Audit Negara 2021 itu disenaraikan sebagai perbahasan pertama selepas Waktu Soalan tamat tengah hari ini.
Ia diusulkan oleh menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menyeru semua ahli parlimen bersatu menyokong kerajaan supaya penemuan dan cadangan dalam Laporan Ketua Audit negara 2021 akan diambil tindakan secara serius oleh mereka yang terlibat bagi mengatasi kelemahan yang telah dikenal pasti.
Dalam pada itu, Takiyuddin (Kota Bharu-PN) berkata belum pernah menjadi amalan di parlimen untuk membahaskan laporan audit negara.
"Saya nak ingatkan, kalau tidak ada undang-undang bertulis, ia satu konvensyen. Ada amalan-amalan sepanjang ini di parlimen.
"Laporan Ketua Audit Negara tak pernah dibahaskan dan ia jadi satu peraturan dan undang-undang
“Kami usulkan supaya usul ini tidak dibahaskan," kata Takiyuddin lagi.
Beberapa ahli parlimen pembangkang lain termasuk Ronald Kiandee (Beluran-PN) dan Mas Ermieyati Samsudin turut bangun menyokong hujah Takiyuddin menentang usul itu.
Ronald memetik Peraturan Tetap 77, yang menetapkan bahawa laporan audit negara harus diperiksa dan diambil tindakan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
Dia mendakwa dengan mencadangkan parlimen membahaskan laporan itu maka kerajaan telah menjejaskan peranan PAC.
Mas Ermieyati, yang juga pengerusi PAC, turut menyoal kerelevanan usul tersebut, berkata jawatankuasa itu telah diberi kuasa penuh untuk meneliti laporan audit berkenaan.
Ahli parlimen Masjid Tanah itu juga menyoal siapa yang akan bertanggungjawab menjawab semua soalan berhubung laporan itu sekiranya ia dibenarkan dibahaskan di parlimen, kerana jawatan Ketua Audit Negara belum diisi sejak bekas pemegang jawatannya bersara kira-kira empat bulan lalu.