Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Cuaca panas: Orang Asli Semaq Beri ikut adat kembali ke hutan

Fenomena cuaca panas yang melanda negara pada masa ini, menyebabkan sekumpulan Orang Asli suku Semaq Beri di Kuala Berang, Terengganu meninggalkan perkampungan mereka dan berpindah ke dalam hutan.

Menurut Hitam Keladi, 60, sudah menjadi kelaziman bagi mereka meninggalkan kediaman masing-masing di Kampung Sungai Berua dekat situ, dan berpindah ke dalam hutan di sekitar Tasik Kenyir pada setiap kali musim panas.

Dia bersama 20 keluarga yang lain berbuat demikian kerana keadaan di dalam hutan lebih sejuk, selain mampu mengurangkan risiko anak kecil mereka diserang demam panas.

"Lebih teduh untuk kami tinggal di dalam hutan ini, lebih berangin dan lebih sejuk. Kami bukan lari dari rumah ... tapi untuk lebih keselesaan. Anak-anak kecil kami pun kurang demam apabila berada di sini, duduk dalam hutan boleh sihat sikit.

"Kami bukan menetap di suatu tempat sahaja di dalam hutan ini, tetapi akan berpindah-randah. Lagi pun disebabkan kerja kami seperti cari kayu dan jalan di tepi sungai untuk cari makan," katanya ketika ditemui di Kuala Berang.

Hitam yang juga ketua puak di penempatan sementara itu berkata mereka sudah tiga bulan meninggalkan kediaman dan akan kembali semula ke Sungai Berua apabila keadaan cuaca semakin baik.

Sementara itu, Sahak Samak, 41, juga daripada suku sama berkata pilihan untuk tinggal di hutan pada musim panas sama seperti menghidupkan kembali adat nenek moyang mereka.

"Ini adat dan cara kami …. Kami bukan saja-saja masuk, kami tidak boleh tinggalkan adat orang-orang tua kami yang suatu masa dahulu, memang semuanya tinggal di dalam hutan.

"Sekarang, jarang-jarang kami masuk untuk tinggal di sini. Pada masa-masa tertentu sahaja terutamanya ketika cuaca panas melampau atau waktu banjir, nanti sampai masa kami balik semula ke kampung," katanya.

Menurut Sahak, selain di sekitar Tasik Kenyir, mereka juga turut menetap di beberapa kawasan hutan lain iaitu di Sungai Cendana dan Taman Negeri Terengganu.

Kawasan penempatan Orang Asli Semaq Beri di Sungai Berua diwujudkan lebih 35 tahun lepas setelah mereka dipindahkan dari Tasik Kenyir berikutan pembinaan loji air dan pembangunan di tasik berkenaan.

Semaq Beri atau bermaksud kaum hutan kebiasaannya akan masuk ke hutan mencari hasil seperti rotan dalam tempoh tidak lebih dua minggu dan kemudiannya akan pulang semula ke kediaman mereka.

Lazimnya, suku yang menggunakan dialek Terengganu itu secara tradisinya akan berpindah jauh ke dalam hutan bagi mengelakkan sesuatu perkara buruk berlaku termasuk serangan wabak penyakit.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS