Seorang pemimpin tidak semestinya perlu ada pengalaman hidup dalam kemiskinan bagi memahami masalah tersebut dan membantu rakyat yang memerlukan, kata Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim.
Hassan berkata demikian ketika mempertahankan Anwar Ibrahim susulan dakwaan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor bahawa perdana menteri "tak tahu apa" tentang kemiskinan.
Hassan memberikan beberapa contoh pemimpin yang telah berusaha membantu golongan miskin walaupun tidak mengalami masalah itu sendiri.
Antaranya perdana menteri kedua Abdul Razak Hussein yang mendapat gelaran Bapa Pembangunan ekoran dasar-dasarnya yang membantu golongan berpendapatan rendah.
"Adakah Sanusi tahu Allahyarham Tun Abdul Razak juga pernah belajar di MCKK (Kolej Melayu Kuala Kangsar)?
"Tun Abdul Razak bukan anak orang miskin (tetapi) anak bangsawan dari Pahang. Lihat apa yang dia telah buat tentang memperjuangkan nasib orang miskin?
"Siapakah perdana menteri yang membuka beribu-ribu hektar tanah di seluruh negara di bawah rancangan Felda untuk diberikan kepada orang Melayu miskin? Jawapannya ialah Tun Abdul Razak yang bersekolah di MCKK dan bukan dari keluarga miskin," katanya.
Dalam satu ceramah PN di Tanjong Karang, Selangor semalam, Sanusi meremehkan komitmen Anwar Ibrahim untuk membasmi miskin tegar di Malaysia dengan membangkitkan latar belakangnya sebagai anak ahli parlimen dan menerima pendidikan di MCKK.
"Hang tak payah sembang bab miskin sebab hang tak tahu apa! Ini (kata) nak memuktamadkan (membasmi) kemiskinan...Tak usah sembanglah bos, hang berangan-angan saja," kata Sanusi.
Mengulas lanjut, Hassan membangkitkan langkah yang diambil Anwar untuk membantu pesawah sebaik saja menjalankan tugas sebagai perdana menteri pada November tahun lalu.
Ketika itu, Anwar dilaporkan menegur hartawan yang juga pemilik Padiberas Nasional Bhd (Bernas) Syed Mokhtar Albukhary berhubung monopoli syarikat tersebut dalam import beras.
Atas gesaan Anwar, Syed Mokhtar kemudian memperuntukkan RM60 juta untuk pembayaran kepada pesawah.
"Sanusi, sebagai menteri besar Kedah, tentu maklum bahawa ramai pesawah di Kedah. Adakah Sanusi lupa antara tindakan awal Anwar sebagai perdana menteri adalah berbincang dengan Syed Mokhtar untuk memulangkan sebahagian keuntungannya untuk membantu pesawah miskin?" soal Hassan.
Hassan turut membangkitkan kritikan Anwar terhadap belanjawan yang dibentangkan kerajaan PH pimpinan Dr Mahathir Mohamad pada 2018, yang memotong subsidi kepada petani dan nelayan.
"Sebagai seorang pemimpin, Sanusi tentu setuju dengan saya bahawa tak semestinya kita pernah hidup miskin baru kita tahu erti kemiskinan.
"Apabila Sanusi telah faham semua ini sekarang, eloklah bersederhana dalam ucapan. Lebih molek jika Sanusi selaku menteri besar Kedah menghulurkan salam persahabatan dengan Anwar yang mengetuai kerajaan persekutuan," katanya lagi.