Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Inisiatif kebersihan tandas dimulakan dalam masa terdekat - KPM
Diterbitkan:  Jun 4, 2023 9:04 PM
Dikemaskini: 1:04 PM

Kementerian Pendidikan akan memulakan inisiatif yang bertujuan untuk mengajar murid tanggungjawab menjaga kebersihan tandas tidak lama lagi.

Ini selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata bahawa pelajar sekolah perlu diajar membersihkan tandas untuk menjaga kebersihan dan membina sahsiah.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek semalam berkata kementeriannya akan berusaha untuk melaksanakan idea Anwar.

Namun, kenyataannya di Facebook hari ini tidak menyatakan secara khusus sama ada ia akan menjadi sebahagian daripada inisiatif kebersihan tandas yang dimulakan tidak lama lagi.

Bagaimanapun, ia berkata penerapan amalan menjaga kebersihan tandas akan dilakukan melalui "program sedia ada" seperti kesedaran tentang kebersihan, dan advokasi untuk mengajar kanak-kanak cara menggunakan tandas dengan betul.

"Kebersihan tandas adalah program jangka panjang Kebersihan, Kesihatan dan Keselamatan (3K) yang mensasarkan semua tandas sekolah KPM mencapai minimum TIGA (3) bintang pada akhir tahun 2025 sebagai satu standard kualiti yang perlu dicapai setiap sekolah," katanya.

Ia menambah bahawa standard ini mesti dicapai oleh semua sekolah.

Semalam, perdana menteri menggesa pelajar diajar mencuci tandas bagi memastikan keselesaan dan kebersihan di sekolah terpelihara.

Dengan dilatih untuk berbuat demikian, Anwar berkata pelajar akan belajar tentang kebersihan dan menghormati orang lain, di samping secara tidak langsung memahami dan menghargai kerja rumah yang dilakukan oleh ibu bapa mereka.

Persatuan Ibu Bapa dan Guru Kebangsaan menyokong idea itu, dan mencadangkan agar pelajar yang mempunyai masalah disiplin diambil untuk mengambil bahagian terlebih dahulu.

Bagaimanapun, FMT melaporkan seorang aktivis menggesa kerajaan menyediakan lebih banyak dana untuk sekolah menjaga kebersihan tandas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS