Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim enggan mengulas mengenai tuntutan bayaran sebanyak AS$16 bilion daripada kumpulan Sulu ke atas kerajaan Malaysia.

Sebaliknya, Anwar berkata dia menyerahkan kepada pihak sepatutnya untuk menjawab isu berkenaan.

"Itu biar orang lain jawab," katanya ringkas selepas merasmikan D' Anjung Selera Madani Jalan Jujur, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur hari ini.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said mendedahkan kumpulan Sulu sudah menulis surat kepada Peguam Negara menuntut bayaran sebanyak AS$16 bilion atau bersamaan RM73.46 bilion termasuk faedah.

Menyifatkan tindakan itu sebagai biadab, Azalina berkata ia jelas menunjukkan mereka tidak menghormati Malaysia sebagai negara berdaulat.

"Perdana menteri beri saya arahan untuk berhabis-habisan melawan kes ini kerana Malaysia sebuah negara berdaulat dan merdeka. 

"Jika mereka kalah kita akan menuntut kos sebab lantikan peguam," kata Azalina seperti dilaporkan media.

Azalina juga berkata kumpulan berkenaan mungkin dipergunakan negara barat bagi menuntut kerajaan Malaysia membayar tuntutan tidak masuk akal dengan menggunakan platform Mahkamah Timbang Tara Komersial berbanding Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Belanda.

Sementara itu Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan hari ini menyelar dakwaan dalam surat yang dihantar oleh Paul H. Cohen, peguam kepada pihak yang mendakwa sebagai waris Sultan Jamalul Kiram II itu.

AGC berkata adalah melampau bagi kumpulan berkenaan membuat tuntutan bagi final award yang diperkatakan sedangkan prosiding undang-undang masih berlangsung.

Jabatan itu berkata kesemua dakwaan oleh Paul dalam surat itu sama sekali tidak benar dan tidak mengendahkan fakta sebenar tuntutan (oleh penuntut) yang tidak dapat disangkal lagi akan mewujudkan rekod bertulis bagi perkara yang tidak benar, yang bertujuan untuk digunakan terhadap Malaysia.

Ubah wajah KL dan kota-kota lain

Dalam pada itu Anwar mengarahkan usaha dilakukan di semua peringkat dalam mengubah 'wajah' Kuala Lumpur dan kota-kota di negara ini.

Katanya, penempatan gerai peniaga kecil dan penjaja di seluruh negara harus dinaiktaraf kepada infrastruktur yang lebih selesa, indah dan bersih dalam tempoh sekurang-kurangnya satu hingga dua tahun ini.

Perdana menteri berkata, dia mahu melihat semua pihak termasuk kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara mewujudkan pelan untuk mengangkat martabat dan memberi penghormatan serta ehsan kepada golongan berpendapatan kecil khususnya peniaga ini.

"Kita tukar wajah KL (Kuala Lumpur) dalam satu atau dua tahun ini...bila tengok gerai, ia cantik dan bersih.

"Ini harus berlaku di semua kota di negara kita, tidak mahu hanya di KL, di PJ (Petaling Jaya), Klang, Shah Alam, Pulau Pinang, Ipoh, Kuantan, Kota Bharu, Alor Setar," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS