Hanya buat kerja yang sepatutnya - itu reaksi seorang timbalan menteri apabila diminta mengulas mengenai spekulasi rombakan kabinet tidak lama lagi.
Menurut Fuziah Salleh, seseorang perdana menteri boleh merombak kabinetnya mengikut kesesuaian jika dia berasakan di suatu keperluan.
"Itu adalah hak dan kuasa perdana menteri.
"Saya tak ambil tahu, saya hanya buat kerja saya saja di kementerian," kata timbalan menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup itu.
Anggota Dewan Negara itu ditemui media selepas menghadiri program majlis penyampaian Bakul Rahmah di Kuantan hari ini.
Sebelum itu Fuziah ditanya mengenai khabar angin yang mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan menyusun semula kabinetnya selepas berakhir pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.
Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, pada 27 Mei lalu dilaporkan berkata, langkah merombak kabinet adalah hak prerogatif perdana menteri dan lazimnya ia tidak dibincangkan dalam kabinet.
Seorang lagi Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof, ketika ditanya media mengenai perkara itu memberitahu, setakat ini belum ada perbincangan dibuat mengenai rombakan kabinet.
"Saya belum mendengar mengenainya. tiada perbincangan berkaitan perkara itu.
"Itu adalah prerogatif perdana menteri, saya orang bekerja. Saya menurut perintah," katanya.
Anwar sendiri ketika ditanya mengenai khabar angin berkenaan minggu lalu meminta sesiapa yang mempunyai cadangan agar menulis surat kepadanya dan akan diberi pertimbangan.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Fuziah berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan bekalan gula mencukupi tetap mencukupi, manakala harganya kekal seperti sekarang.
Katanya, pembekal gula di negara ini sudah diminta menepati syarat pengeluaran ditetapkan kerajaan iaitu sebanyak 42,000 tan metrik sebulan.
"Ini bermakna tidak akan berlaku masalah kekurangan bekalan dan kenaikan harga gula di pasaran," katanya lagi.