Paling Popular
Terkini

Umno hari ini mengakui parti itu perlu mengekang pemimpin mereka sendiri daripada menyerang sesama anggota atau pemimpin dalam kerajaan, termasuk untuk membolehkan pihak tertentu berpuas hati.

Justeru setiausaha agungnya Asyraf Wajdi Dusuki berkata hal itu akan dikawal demi kebaikan semua pihak.

“Ini antara isu yang perlu kami kawal dan uruskan.

"Tak ada gunanya jika kita terus menyerang antara satu sama lain, 'tembak kaki sendiri' untuk menggembirakan masyarakat tertentu," katanya semasa menjawab soalan media di Ibu Pejabat Umno di Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu Asyraf Wajdi ditanya mengenai secara khusus mengenai tindakan anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi yang baru-baru ini mengkritik Rafizi Ramli dan - antara lain - menganggap Timbalan Presiden PKR belum bersedia menjadi anggota kabinet.

Mohd Puad juga mengecam menteri ekonomi itu gagal mengemukakan sebarang langkah signifikan selain menyindirnya sebagai "banyak sangat formula" sebelum ini.

Dia kemudian mengaitkan situasi itu dengan spekulasi mengenai rombakan kabinet.

Mengulas kritikan tersebut, Rafizi mengingatkan pemimpin Umno wajar mengelakkan diri daripada membuat ulasan yang hanya akan menjauhkan penyokong PH daripada mereka.

Asyraf Wajdi berkata seseorang yang berada dalam kerajaan perlu mengambil tanggungjawab secara kolektif, bukannya bergantung kepada mana-mana individu secara persendirian.

Justeru, katanya, semua pihak perlu berhenti daripada menuding jadi antara satu sama lain.

Sementara itu, mengenai kembalinya bekas menteri besar Negeri Sembilan Isa Samad kepada parti itu, Asyraf Wajdi berkata, Umno kekal sebagai parti terbuka kepada semua.

“Sebagai bekas menteri besar yang berpengalaman luas, ada hubungan rapat dengan Umno, mungkin itu boleh member sumbangan,” katanya.

Isa, 74, merupakan bekas ahli parlimen Jempol dan meninggalkan Umno pada Okt 2018 untuk bertanding sebagai calon bebas dalam pilihan raya kecil parlimen Port Dickson kerana parti itu tidak meletakkan calon.

Anaknya, Mohd Najib, kini merupakan timbalan ketua Umno Port Dickson.

Dalam perkembangan lain, Asyraf Wajdi menyifatkan kenyataan Khairy Jamaluddin yang menjangkakan parti itu akan kehilangan lebih 50 peratus sokongan Melayu akibat doktrin "anti-DAP" sekadar ramalan saja.

Namun katanya kenyataan dibuat bekas ketua Pemuda Umno itu tidak akan menggelincirkan Umno daripada agenda utamanya.

“Umno tidak pernah mencairkan prinsip perjuangan dan agenda kita, seperti yang termaktub dalam perlembagaan," katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS