Nota pengarang: Pindaan dibuat terhadap artikel ini bagi memasukkan respons Panasonic Manufacturing Malaysia Bhd (PMMA) dan demi memberikan kejelasan bahawa penutupan melibatkan beberapa entiti bawah kumpulan Panasonic dan bukan PMMA sahaja. Kesilapan adalah dikesali.
Malaysiakini semalam melaporkan bahawa kumpulan Panasonic di Malaysia telah mula menghentikan beberapa operasi di kilang pembuatannya di negara ini, berpotensi menyebabkan hampir seribu rakyat Malaysia menganggur.
Ini termasuk Panasonic Manufacturing Malaysia Bhd (PMMA), yang mengesahkan menutup dua jabatan pembuatan di kilangnya di Shah Alam.
Walaupun PMMA berkata tiada kaitan, penutupan itu berlaku selepas syarikat gergasi pembuatan itu kalah dalam dua tuntutan berasingan di mahkamah pada tahun lalu terhadap bekas pembekalnya, pengarah eksekutifnya Chen Ah Huat dan pekerja atas dakwaan penipuan mencecah lebih RM3 juta.
PMMA berkata penutupan operasinya tiada kaitan dengan keputusan mahkamah yang tidak menyebelahi syarikat itu.
Menurut dokumen mahkamah yang dilihat oleh Malaysiakini, PMMA memfailkan tuntutan undang-undang itu masing-masing pada 2016 dan 2017.
Saman pertamanya adalah terhadap bekas pembekalnya, syarikat Ta Shih Engineering Sdn Bhd, Chen dan bekas pekerjanya Ganesan Chinniah Barathan, di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada April 2016.
Saman kedua dikemukakan terhadap satu lagi bekas pembekal iaitu syarikat Transcend Mould Sdn Bhd, serta Chen dan Ganesan di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Mac 2017.
Kedua-dua saman itu telah disatukan dan didengar bersama.
Apa yang dituntut?
Secara ringkasnya, PMMA menyaman defendan kerana didakwa bersubahat untuk menipu syarikat dengan mencipta sebut harga rekaan, pesanan pembelian, pesanan penghantaran dan invois untuk membuat tuntutan bagi pembayaran di bawah skim prapembayaran, yang tidak diluluskan atau dibenarkan oleh pengurusan atasan plaintif.
PMMA juga menuduh defendan memotong bayaran daripada skim prapembayaran untuk kerja-kerja pembaikan yang tidak disahkan sebagai telah siap.
Gergasi pembuatan Jepun itu berkata, defendan bersubahat untuk menipu dan menyebabkan kerugian kepada PMMA melalui pembayaran komisen sebanyak lima peratus komisen untuk membayar cukai atau caj perkhidmatan kepada syarikat Ta Shih dan Transcend.
Menurut PMMA, defendan menerima pakai skim prapembayaran tersebut yang dikenali sebagai "wang tempahan" atau "duit parking".
Dokumen mahkamah mendedahkan bahawa PMMA mengeluarkan RM2.082 juta dan RM1.301 juta kepada Ta Shih dan Transcend dari 2011 hingga 2014 untuk kerja-kerja pembaikan.
Bagaimanapun, pengurusan PMMA pada 2014 mendapati bahawa dana yang dikeluarkan itu berpunca daripada pelbagai tindakan penipuan yang didakwa dilakukan oleh defendan.
Syarikat berkenaan kini ada garis panduan sifar rasuah yang menekankan ketelusan, integriti dan pemberi maklumat, dan laporan tahunan 2022-nya mengatakan bahawa "risiko rasuah" adalah salah satu daripada "risiko utama".
Langkah itu termasuk pasukan pematuhan yang mengawasi langkah pencegahan rasuah.
Namun begitu, dalam respon kepada Malaysiakini, PMMA menekankan bahawa tindakan-tindakan ini tiada kaitan langsung dengan kes saman tersebut.
Siapakah orang-orangnya?
Ta Shih dan Transcend merupakan pembekal yang menyediakan mesin ‘moulding dan dies’ baru kepada PMMA, serta membaiki alatan sedia ada.
Chen ialah pengarah dan pekerja PMMA yang menyelia bahagian pembuatan dan perolehan, termasuk Jabatan Mesin Moulding dan Dies (DMD).
Ganesan ialah pekerja PMMA di DMD, dan dengan Chen, merupakan hubungan utama antara syarikat dan pembekal.
Kedua-dua Ta Shih dan Transcend merupakan antara banyak pembekal lain yang terlibat dengan PMMA untuk membekalkan mesin moulding dan dies baru serta membaiki yang sedia ada secara berterusan.
Tanggungjawab Chen dan Ganesan termasuk merundingkan harga kerja pembaikan, menguruskan sebut harga, pesanan pembelian, pesanan penghantaran dan invois antara plaintif dan pembekal.
Mereka juga memastikan bahawa kelulusan sewajarnya diperoleh daripada pengurusan atasan PMMA untuk pembayaran kepada pembekal, termasuk pengurusan sewajarnya jumlah skim prapembayaran yang telah dibayar terlebih dahulu kepada pembekal.
Apa keputusan hakim?
Ketika menyampaikan keputusannya pada 20 Julai tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Che Mohd Ruzima Ghazali mendapati PMMA gagal membuktikan kesnya terhadap defendan.
Hakim memerintahkan PMMA membayar RM154,949 sebagai jumlah terhutang dan terhutang kepada Ta Shih, membawa faedah lima peratus setahun dari tarikh pemfailan tuntutan balas Ta Shih pada 12 Dis 2018.
Bagi kos, hakim turut mengarahkan PMMA membayar RM70,000 kepada setiap defendan, tertakluk kepada bayaran yang diperuntukkan.
Menurut pelbagai saksi daripada kedua-dua pihak, termasuk penyiasat bebas Satgunasingam Balasingam yang diupah oleh PMMA, amalan skim prapembayaran itu telah pun dijalankan sejak sebelum 2010, semasa Lim Jee Wee memegang jawatan pengurus besar dan ketua jabatan DMD ketika itu.
Selepas kematian Lim, penggantinya meneruskan amalan itu.
Hakim mendapati berdasarkan bukti, bahawa amalan ini juga merupakan norma untuk kerja-kerja pembaikan mesin moulding dan dies sedia ada, serta dianggarkan dalam belanjawan oleh ketua-ketua jabatan pengeluaran, dan bukan hasil konspirasi di kalangan defendan.
Mengenai dakwaan bahawa defendan bersubahat untuk menggunakan atau memotong wang daripada skim prabayaran tanpa mesin moulding dan dies yang telah dibaiki, hakim mendapati PMMA tidak dapat menunjukkan bahawa kerja-kerja pembaikan tidak dilakukan.
Berhubung dengan penggunaan dokumen yang dikatakan rekaan, mahkamah mendapati defendan tidak boleh mengemukakan dokumen tersebut kerana mereka tidak mempunyai akses kepada sistem berkomputer untuk meminta bayaran.
Sementara itu, mahkamah juga mendapati adalah tidak benar bahawa defendan merancang untuk memotong lima peratus daripada jumlah skim prapembayaran kepada kedua-dua pembekal tanpa sebarang sebab yang sah, menyebabkan kerugian kepada PMMA.
Pengarah Urusan Ta Shih, Liew Huat Heng memberi keterangan bahawa wakil PMMA mendesak pengaturan "wang tempahan" sebagai bayaran pendahuluan untuk kerja-kerja yang perlu dilakukan.
Lebihan itu akan dipulangkan pada akhir tahun kewangan, katanya.
"Mereka bersetuju untuk memberi pampasan kepada kami dengan membenarkan kami memotong lima peratus daripada wang yang diletakkan sebagai caj pentadbiran kami dan untuk membayar pampasan bagi sebarang cukai jualan yang perlu dibayar ke atas wang yang diletakkan itu."
Hakim berkata walaupun tiada persetujuan bertulis mengenai perkara ini namun bukti, termasuk daripada Jabatan Kewangan PMMA, menunjukkan ia amalan biasa dalam firma itu.
“Jabatan Kewangan plaintif juga menerima wang prapembayaran yang tidak digunakan daripada pembekal tanpa sebarang tempahan.
“Sebenarnya, bukti yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak menunjukkan terdapat banyak pihak lain yang terlibat dalam skim prapembayaran atau dalam jumlah pengekalan lima peratus.
"Berdasarkan kegagalan tersebut sahaja, tuntutan plaintif terhadap defendan sepatutnya telah terhapus."
Ketika dihubungi, PMMA menegaskan penutupan itu tidak ada kaitan dengan keputusan kes tuntutan mahkamah tersebut.
Ia menambah kes itu "telah berjaya diselesaikan". Ini juga disahkan oleh peguam PMMA, yang tidak diberi kuasa untuk mendedahkan butiran lanjut.
Malaysiakini telah menghubungi SPRM berhubung dakwaan penipuan itu.
Bagaimanapun, setakat ini, tiada sebarang maklum balas diterima daripada suruhanjaya pencegahan rasuah tersebut berhubung sebarang laporan atau aduan yang difailkan untuk siasatan berhubung perkara berkenaan.