Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tanah runtuh Batang Kali: Waris, mangsa gesa dedah laporan penuh
Diterbitkan:  Jun 1, 2023 8:47 PM
Dikemaskini: 12:47 PM

Lebih enam bulan selepas tragedi tanah runtuh Batang Kali, mangsa yang terselamat dan keluarga mangsa menyatakan kekecewaan kerana menunggu lama untuk laporan penuh kejadian itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, mereka menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan telus untuk mendedahkan punca sebenar tanah runtuh "tanpa sebarang cubaan untuk menyembunyikan atau lepas tangan".

Goh May Yann - salah seorang daripada 61 yang terselamat dalam kejadian tanah runtuh yang melanda tapak perkhemahan itu - berkata walaupun dia memahami bahawa siasatan mengambil masa, kerajaan sekurang-kurangnya harus menjelaskan kelewatan itu.

“Kerajaan yang bertanggungjawab wajar memberikan penjelasan yang munasabah untuk kelewatan.

"Ketelusan dan kemas kini mengurangkan kebimbangan dan mengekalkan kepercayaan," katanya.

Suami Goh, Tee Yeow King, menekankan kepentingan laporan siasatan itu untuk komuniti perkhemahan, kerana ia akan membantu mereka dalam melaksanakan pembaharuan dan meminta pihak yang berkaitan melaksanakan tanggungjawab sewajarnya.

Pasangan itu pergi berkhemah bersama keluarga dan rakan mereka pada malam tragedi itu, yang berakhir dengan anak saudara mereka yang berusia tujuh tahun terkorban.

Sekitar jam 2.30 pagi pada 16 Dis 2022, tanah runtuh hampir 300m panjang dan 70m tinggi berlaku di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Gohtong Jaya, Batang Kali.

Bencana itu meragut nyawa 18 orang dewasa dan 13 kanak-kanak, manakala 61 lagi selamat.

Sam Lai Choon Seng, yang kehilangan adik dan anak saudaranya dalam kejadian itu, melahirkan kebimbangannya mengenai kelewatan pihak berkuasa mengeluarkan laporan penuh.

Begitu juga, Lam Sook Yoo, seorang lagi waris mangsa, berkongsi kekecewaan yang dialami oleh mangsa yang terselamat dan keluarga mangsa.

Adik Lam adalah antara 11 yang dikaitkan dengan SJKC Mun Choong yang terkorban. Kakitangan sekolah telah menganjurkan aktiviti perkhemahan persendirian pada malam itu untuk pelajar, guru dan kakitangannya.

“Sila ambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang bertanggungjawab berdasarkan penemuan siasatan.

“Kegagalan menangani perkara ini akan mengakibatkan peningkatan kecuaian dan akan meletakkan aktiviti perkhemahan masa depan dalam risiko. Kami tidak mahu sesiapa pun menghadapi tragedi sama yang kami alami,” kata Lam.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad

Dilaporkan pada 30 Mei bahawa Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata Kementerian Kerja Raya sedang memuktamadkan laporan penuh kabinet.

Nik Nazmi merujuk kepada laporan kementeriannya yang dikemukakan kepada Kementerian Kerja Raya, menegaskan ia berdasarkan penemuan Jabatan Mineral dan Geosains serta Jabatan Ukur dan Pemetaan.

Dia melahirkan kebimbangan berhubung potensi penglibatan aktiviti manusia yang mungkin menyumbang kepada kejadian tanah runtuh itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS