Topik atau isu berkaitan subsidi bersasar, khususnya berkaitan pelaksanaan dan keberkesanannya, semakin hangat dibincangkan sama ada di peringkat menteri, dewan rakyat, ahli perniagaan, warga akademik, serta masyarakat awam. Isu ini mendapat perhatian kerana ia melibatkan banyak pihak dan kesannya juga mempengaruhi ekonomi negara kerana berbilion ringgit diperuntukkan saban tahun bagi bagi tujuan subsidi ini.
Bayangkan jika isu ini dapat ditangani secara berhemah, jutaan ringgit dapat dijimatkan selain membantu golongan yang benar-benar memerlukan subsidi ini.
Subsidi bersasar ialah salah satu kaedah yang digunakan oleh kerajaan untuk menyediakan bantuan berbentuk kewangan atau barangan kepada kumpulan atau sektor penduduk tertentu. Subsidi ini dibentuk untuk menangani ketidaksamaan ekonomi dan menggalakkan keadilan ekonomi dengan memberikan sokongan kepada mereka yang paling memerlukan. Kerajaan Madani pimpinan YAB Anwar Ibrahim komited untuk mendepani permasalahan rakyat khususnya golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana (B40 dan M40).
Golongan ini telah dikenalpasti sebagai golongan yang paling terkesan dengan kenaikan kos sara hidup serta ketidakcukupan keperluan barangan asas seperti makanan, pakaian, tempat kediaman, pendidikan, dan lain-lain lagi berbanding dengan golongan yang berpendapatan tinggi (T20). Oleh itu, bagi menangani ketidakseimbangan ini, kerajaan memperuntukkan subsidi kepada golongan B40 dan M40 ini.
Antara kategori subsidi bersasar yang dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan adalah berkaitan dengan harga barangan asas seperti beras, tepung gandum, minyak masak; manakala kategori lain adalah berkaitan dengan tarif/bil elektrik, harga petrol (RON 95), diesel serta gas petroleum cair (LPG). Semua barangan atau keperluan asas ini diperlukan oleh semua pihak, namun persoalan utama di sini adalah adakah peruntukan atau subsidi yang telah diberikan oleh kerajaan ini dinikmati oleh golongan yang disasarkan atau merangkumi juga golongan lain. Persoalan kedua adalah berkaitan dengan pelaksanaannya sama ada terdapat ketirisan dimana-mana agensi pelaksana atau individu yang dipertanggungjawabkan.
Bagi mendepani masalah atau persoalan ini, Kerajaan Perpaduan pada ketika ini dilihat telah dan sedang mengambil langkah yang betul ke arah pelaksanaan subsidi bersasar ini dengan pengumuman penubuhan sistem Pengkalan Data Utama (PADU) yang dijangka siap pada penghujung tahun 2023. Adalah diharapkan sistem PADU ini berupaya untuk mengenalpasti golongan sasar yang dimaksudkan dan seterusnya bantuan sewajarnya dapat disalurkan tepat kepada mereka.
Di samping langkah yang telah diambil oleh kerajaan dengan membangunkan sistem PADU ini, penulis ingin mencadangkan beberapa langkah penambahbaikan yang boleh diambil oleh pihak berkuasa untuk memastikan pelaksanaan subsidi bersasar ini dapat membantu golongan yang benar-benar memerlukan bantuan atau pertolongan.
Adalah menjadi harapan penulis dan juga mungkin ramai pihak lain agar sistem PADU ini berupaya mengenalpasti kumpulan atau kelompok semua penduduk yang terdapat di Malaysia khususnya berkaitan dengan tahap pendapatan serta sosio ekonomi mereka.
Seterusnya, dengan menggunapakai teknologi digital pada hari ini, adalah dicadangkan profil individu (individual profiling) dapat diwujudkan secara menyeluruh menjangkau semua atau majoriti penduduk Malaysia. Dengan adanya profil individu penduduk yang komprehensif ini, sebarang bentuk bantuan atau subsidi boleh disalurkan terus kepada golongan- golongan yang disasarkan. Kita ucapkan tahniah kepada pihak Lembaga Tabung Haji (TH) kerana telah menggunakan kaedah ini dalam pemberian subsidi kepada bakal-bakal haji Malaysia yang telah terpilih mengerjakan rukun islam yang kelima di Tanah Suci pada tahun ini.
Kerajaan Malaysia melalui TH telah memberikan subsidi kepada golongan yang selayaknya berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan seperti jumlah pendapatan individu dan/atau pasangan, kategori haji yang dilaksanakan sama ada pertama kali atau ulangan, dan sebagainya.
Berdasarkan profil individu ini juga, pelaksanaannya boleh dikembangkan kepada pemberian subsidi yang berkaitan dengan tarif atau penggunaan elektrik, petrol (RON 95) serta diesel. Bagi kes tarif elektrik, kita percaya perkara ini sedang dibuat kajian oleh pihak Kementerian Sumber Tenaga Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dengan kejasama Suruhanjaya Tenaga (ST) dan juga Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi menentukan kaedah dan juga kadar subsidi yang boleh diberikan kepada golongan sasar berdasarkan pengunaan tenaga elektrik mereka. TNB akan berlaku adil sekiranya mengenakan tarif yang bersesuaian kepada pengguna dengan mengambilkira penggunaan tenaga elektrik mereka kerana ia secara tidak langsung mencerminkan taraf hidup seseorang individu atau keluarga.
Isu atau pelaksanaan pemberian subsidi berkaitan petrol, khususnya melibatkan RON 95 dan diesel pula agak rumit dan tidak berkesudahan. Pelbagai inisiatif telah diambil oleh kerajaan sebelum ini (penggunaan kad, subsidi berdasarkan kuasa kuda kenderaan, dan sebagainya), namun ianya semacam kurang berkesan.
Subsidi yang sepatutnya diberi dan dinikmati oleh golongan tertentu juga dilihat turut sama dinikmati oleh golongan yang berpendapatan tinggi dan menggunakan kenderaan mewah. Penulis ingin mencadangkan supaya pihak kerajaan dapat mempertimbangkan pengisian petrol dan diesel mengunakan ‘online’ sepenuhnya, ertinya tiada lagi pembelian secara tunai.
Dengan pembelian secara ‘online’ ini, data serta profil pengguna dapat digunakan untuk menentukan pemberian subsidi kepada golongan yang sewajarnya. Cadangan ini berkemungkinan akan mendapat sedikit bantahan pada awal pelaksanaannya namun ia boleh dikuatkuasakan secara berperingkat sebagaimana yang dibuat terhadap pembayaran tol.
Hapuskan nota RM100
Seterusnya, penulis juga ingin mencadangkan supaya kerajaan dapat mempertimbangkan untuk menghapuskan nota seratus ringgit (RM100) di pasaran dan Bank Negara Malaysia (BNM) tidak lagi mencetak atau mengeluarkan nota RM100 pada masa hadapan.
Cadangan ini adalah selaras dengan perkembangan teknologi digital dan juga pasaran digital yang mempromosikan transaksi secara maya (online transaction) serta transaksi tanpa tunai (cashless transaction). Kerajaan melalui kementerian dan agensi-agensi tertentu sepatutnya menyediakan prasarana berkaitan digital dan menyebarluaskan penggunaan transaksi secara maya atau online.
Dengan penghapusan nota RM100 ini dan juga pengunaan transaksi secara maya atau digital, kerajaan secara tidak langsung dapat mengurangkan kadar rasuah atau ketirisan di pelbagai peringkat. Lazimnya, kegiatan rasuah ini melibatkan pemberian dan penerimaan secara tunai dan dilakukan secara fizikal.
Sekiranya nota RM100 ini dihapuskan, perasuh ini memerlukan sejumlah wang tunai yang banyak, yang melibatkan nota RM50 atau nota yang lebih kecil untuk meneruskan kegiatan gelap mereka. Dalam pada itu, sekiranya kegiatan rasuah ini dijalankan secara digital atau online, pihak berkuasa akan dapat menjejaki bukti kegiatan yang tidak bermoral ini.
Dengan penghapusan nota RM100 ini sedikit sebanyak dapat membendung atau mengurangkan kegiatan rasuah di negara kita.
Sebagai kesimpulan, penulis ingin menegaskan bahawa isu dan pelaksanaan subsidi bersasar ini perlu diperhalusi oleh semua pihak sama ada pihak kerajaan, pembangkang, institusi awam atau swasta serta pihak-pihak yang berkepentingan (stakeholders). Ini adalah kerana bagi menjamin kesejahteraan semua golongan masyarakat di Malaysia khususnya dalam menyeimbangkan tahap kehidupan semua pihak dan menjurus kepada ekonomi manusiawi (Ismail, 2023).
Jadilah kita sebagai ‘aur dengan tebing’ dan mengamalkan ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’, bukannya bersikap seperti ‘enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing’. Semoga matlamat dan hasrat Malaysia Madani dapat dicapai dalam masa terdekat.
PROF MADYA DR AMANUDDIN SHAMSUDDIN merupakan Dekan, UNITEN Business School (UBS), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN). Beliau boleh dihubungi di [email protected].
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.