Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AGC bantah permohonan kosongkan 4 kerusi parlimen di Sabah

Jabatan Peguam Negara (AGC) akan membangkitkan bantahan terhadap permohonan Bersatu untuk mengosongkan empat kerusi parlimen di Sabah.

Peguam kanan persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi, daripada AGC, hari ini mengesahkan hasrat mereka untuk membantah terhadap permohonan parti pembangkang tersebut untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman.

“Kami akan membantah atas alasan (bahawa isu pengosongan kerusi parlimen) tidak sesuai untuk semakan kehakiman,” katanya kepada Malaysiakini.

Mengikut undang-undang, sesuatu isu itu dianggap tidak sesuai untuk semakan kehakiman bermakna ia bukan sesuatu yang mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk membuat keputusan.

Permohonan kebenaran semakan kehakiman itu ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini.

Ketika dihubungi selepas pengurusan kes, peguam Bersatu Chetan Jethwani berkata mahkamah telah menetapkan 29 Ogos untuk mendengar permohonan kebenaran semakan kehakiman parti itu.

Sekiranya mahkamah memberikan kebenaran, ia kemudiannya akan menetapkan tarikh berasingan untuk mendengar hujahan mengenai merit semakan kehakiman.

Menurut portal dalam talian badan kehakiman Malaysia, AGC mewakili speaker Dewan Rakyat.

Empat ahli parlimen Sabah itu pula diwakili oleh firma guaman, Firoz Julian.

Pada 17 April lalu, peguam Bersatu memfailkan permohonan kebenaran mahkamah untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul yang tidak mengosongkan empat kerusi parlimen di Sabah.

Parti itu memohon perisytiharan bahawa kerusi Papar, Batu Sapi, Ranau, dan Sipitang yang disandang oleh bekas ahli Parlimen Bersatu, sudah dikosongkan

Ia menamakan Johari, dan empat ahli parlimen kerusi berkenaan iaitu Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang) sebagai lima responden,

Empat ahli Parlimen itu bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), manakala Bersatu adalah sebahagian daripada GRS. Bersatu bagaimanapun digugurkan sebagai ahli gabungan itu selepas pilihan raya.

Dalam permohonan kebenaran itu, Bersatu memohon perisytiharan untuk membatalkan keputusan Johari.

Selain itu, parti berkenaan juga memohon perisytiharan bahawa empat ahli Parlimen terbabit sudah berhenti menjadi ahli Dewan Rakyat mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan dan memohon perintah supaya Johari mengesahkan berlakunya kekosongan luar jangka bagi semua kerusi parlimen berkenaan.

Bersatu juga memohon perintah supaya Johari memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya mengenai kekosongan itu dalam tempoh 21 hari selepas perintah itu.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS