Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ringgit merudum - Anwar sukar beri fokus, kata MP PAS
Diterbitkan:  Jun 1, 2023 11:47 AM
Dikemaskini: 4:37 AM

Kejatuhan Ringgit dan ketidaktentuan ekonomi menggambarkan Malaysia memerlukan seorang menteri kewangan yang bertugas sepenuh masa dan boleh memberi tumpuan untuk mengubah keadaan, kata Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman.

Portfolio menteri kewangan kini dipegang Anwar Ibrahim yang juga menggalas tanggungjawab sebagai perdana menteri.

Syahir berkata walaupun Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil langkah menaikkan kadar faedah semalaman (OPR) namun rakyat Malaysia masih menanti strategi daripada perdana menteri atau Menteri Ekonomi Rafizi Ramli untuk menangani isu tersebut.

Menurutnya penjelasan awam perlu ditingkatkan supaya rakyat faham situasi getir yang sedang dihadapi susulan nilai ringgit jatuh, import mahal, kos bahan meningkat dan harga barang juga meningkat.

”Kita masih menunggu formula dan strategi yang akan dikemukakan oleh perdana menteri, menteri kewangan dan menteri ekonomi. Setakat ini masih belum kelihatan strategi yang benar-benar ampuh untuk Malaysia bertahan.

“Malah perdana menteri yang juga memegang jawatan menteri kewangan dilihat sukar memberikan fokus di MOF, dengan bebanan tugas yang berat sebagai perdana menteri di luar.

Syahir Sulaiman

“Peranan dan penumpuan seorang menteri kewangan adalah amat penting dalam tempoh kritikal ini, khususnya bagi mengimbangi langkah yang diambil BNM yang mengawal dasar monetari.

“Inilah sebahagian daripada kegusaran kami ketika pembentukan kabinet, apabila perdana menteri memegang portfolio menteri kewangan,” katanya dalam kenyataan media, malam tadi.

Sebelum ini, BNM mengaitkan punca penyusutan ringgit berbanding Dolar Amerika (USD) disebabkan ketidaktentuan ekonomi global, seperti isu siling hutang di Amerika Syarikat (AS) dan tekanan pada kedua-dua sektor perbankan AS dan Eropah.

Bank pusat itu mengingatkan bahawa prestasi ringgit berbanding dolar AS atau mana-mana mata wang tidak menunjukkan prestasi ekonomi Malaysia, yang dijangka terus berkembang empat hingga lima peratus tahun ini.

Timbalan Menteri Kewangan I Ahmad Maslan berkata kerajaan berharap tekanan terhadap ringgit akan berkurangan sebaik sahaja isu siling hutang AS diselesaikan segera.

Ringgit lemah berbanding mata wang negara jiran

Sementara itu Syahir berkata tempoh 6 bulan ini, Ringgit telah menyusut berbanding Dolar Amerika dan matawang lain sehingga mencecah paras RM4.60/USD, dan dijangka boleh mencecah paras RM5.00/USD jika tidak dikawal.

Dia menegaskan penyusutan Ringgit bukan sekadar kejatuhannya berbanding dolar AS, tetapi juga lemah berbanding Dolar Singapura, Baht Thailand dan Rupiah Indonesia.

Katanya secara umum penyusutan Ringgit kali ini disebabkan faktor ekonomi dan kemelut hutang di Amerika Syarikat, serta ketidaktentuan ekonomi global sehingga menjejaskan permintaan terhadap semua mata wang, termasuklah Ringgit.

“Persoalannya, mungkin ada faktor dalaman yang menyebabkan Ringgit menjadi lemah berbanding mata wang negara jiran.

“Pada masa sama, jualan bersih oleh pelabur asing di Bursa Malaysia telah memasuki minggu kelima berturut-turut dengan aliran keluar berjumlah RM58.7 juta minggu lalu,” jelas Syahir.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS