Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Sejarah tidak pernah menipu, sebaliknya manusialah yang menipu sejarah.

Naratif sejarah Pulau Pinang sering menjadi polemik dalam kalangan ahli akademik dan ahli-ahli politik, malah masih ada pihak yang mendakwa negeri itu hanyalah tanah milik Kedah yang dipajak.

Kenapa masih keliru naratif sejarah Pulau Pinang? Jawapannya ialah kerana fakta-fakta sejarah dan perlembagaan negara tidak dikomunikasikan dengan mudah dan betul untuk difahami oleh semua.

Untuk memahami isu kedudukan Pulau Pinang sebagai negeri berdaulat, kita harus memahami fakta sejarah sebelum dan selepas wujudnya kerajaan Pulau Pinang.

Pulau Pinang sebelum kedatangan SHTI

Berdasarkan fakta sejarah, wilayah pemerintahan Kesultanan Kedah adalah meliputi Perlis sehingga ke Seberang Perai dan kawasan yang disebut sebagai Pulau Ka Satu - sekarang dikenali sebagai Pulau Pinang.

Menurut kajian Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa Universiti Sains Malaysia (CENPRIS-USM) sebelum kedatangan Francis Light dan Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI), Pulau Pinang mempunyai ribuan penduduk Melayu dan pendakwah Islam.

Malah Pulau Pinang telahpun mempunyai pelabuhan yang tersohor di Batu Uban.

Seorang ulama dari Sumatera, Haji Mohammad Salleh - atau lebih dikenali sebagai Nakhoda Nan Intan - membuka petempatan di kawasan Batu Uban dan membina sebuah masjid di pada 1734.

Ia berlaku 52 tahun sebelum Light menjejakkan kakinya di Pulau Pinang. Masjid berkenaan masih kukuh dan kekal sehingga ke hari ini.

Perlu dinyatakan bahawa sebelum 1824, kepulauan di Sumatera adalah sebahagian daripada kepulauan Melayu dan rakyatnya sering berulang-alik ke semenanjung.

Ketika itu belum wujud Malaya dan Indonesia. Rakyat di kepulauan Melayu bertutur dalam bahasa yang hampir sama, mempunyai hubungan kekeluargaan melalui perkahwinan, hubungan perdagangan dan menjalankan aktiviti dakwah Islamiah.

Fakta itu membuktikan bahawa cerita kononnya Pulau Pinang dibuka oleh Light pada 1786, dan kononnya ia hampir tiada penghuni ketika itu adalah cerita dongeng ciptaan Inggeris.

Sebenarnya ribuan penduduk Melayu berada dalam pulau tersebut sejak berzaman dan mereka meneroka tanah, menjalankan aktiviti pertanian, perladangan dan perikanan.

Satu daftar ukur tanah dan kawasan yang bertarikh 1795 menyebut kawasan Datok Keramat telahpun dihuni sejak 1700-an berdasarkan penemuan kawasan perkampungan Melayu serta tanah perkuburan seluas 18 ekar di kawasan tersebut.

Di Seberang Perai pula, penduduk di tanah besar itu dilaporkan tidak kurang daripada 3,000 orang, terdiri daripada petani dan nelayan, selain orang asal dari keturunan Semang.

Seberang Perai juga maju dan mempunyai kawasan industri pembuatan di Guar Kepah.

Kedatangan SHTI

Umum mengetahui SHTI mula menduduki Pulau Pinang dan mengibarkan Union Jack di situ pada 11 Ogos 1786.

Kedatangan SHTI adalah atas tawaran Sultan Kedah Sultan Abdullah Mukarram Shah kerana meminta bantuan perlindungan ketenteraan. Hal itu kerana Kedah menghadapi ancaman daripada Siam dan Bugis.

Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, sebaik sahaja angkatan laut SHTI pimpinan Light menduduki Pulau Pinang, mereka terus membina kubu yang dikenali sebagai Fort Cornwalis, membuka pangkalan tentera dan pelabuhan perdagangan bebas, menukar nama bandar Tanjong Penaga kepada George Town (bersempena Raja George III) dan menamakan pulau itu sebagai 'Prince of Wales Island' sempena nama Raja Muda Britian.

Light dan SHTI dengan liciknya memperdaya Sultan Abdullah untuk membuat pakatan sulit dengan Siam bagi menawan Kedah. Ia diatur sebegitu supaya SHTI dapat 'merampas' Pulau Pinang.

Apabila Sultan Abdullah sedar sudah ditipu, pada 1791 dia menyiapkan angkatan laut di Seberang Perai untuk menyerang dan mengambil semula Pulau Pinang dengan meminta bantuan keteteraan dari Riau dan Siak, selain Selangor.

Persiapan tentera Sultan Kedah itu dihidu oleh Light. Dia meminta bantuan tentera daripada British dan menyerang kubu Sultan Abdullah di Seberang Perai terlebih dahulu.

Kedah kalah dan kesannya SHTI menduduki Seberang Perai pula dan menamakan tanah besar itu Province of Wellesley.

Pada 1800 SHTI mengadakan perjanjian persahabatan dengan Kedah dan berjanji membayar 10,000 dolar Sepanyol setiap tahun kepada sultannya.

Perjanjian itu mempunyai syarat-syarat berat sebelah yang memihak kepada SHTI untuk menguasai Pulau Pinang, kawasan perairan Pulau Pinang dan juga Seberang Perai.

Kedah diwakili Raja Muda Sultan Dziauddin manakala George Leith bagi pihak SHTI. Mereka menurunkan tandatangan masing-masing bagi memeterai perjanjian tersebut.

Untuk rekod Light meninggal dunia pada 1794.

Dokumen Perjanjian 1786

Menurut Prof Ahmad Murad Merican dari Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa, kajiannya menyebut Sultan Abdullah dan Light sebenarnya tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian atau surat pajakan berkaitan penyerahan Pulau Pinang kepada SHTI.

Dia berkata, naratif mengenai 'pajakan' Pulau Pinang daripada Kedah perlu diperbetulkan kerana tiada bukti menunjukkan perjanjian itu benar-benar berlaku pada 1786.

Ahmad Murad memetik catatan seorang sejarawan Inggeris, R Bonney, dalam bukunya ‘Kedah 1771-1821: The Search for Security and Independence’.

Booney menyatakan kajiannya mendapati tidak wujud sebarang dokumen perjanjian di antara Light dengan Sultan Kedah pada 1786.

Katanya, surat-surat yang dipamerkan kepada orang ramai di muzium dan arkib Kedah itu bukanlah surat pajakan sebaliknya cuma cebisan komunikasi di antara Sultan Kedah dan Inggeris.

Sehingga ke hari ini dokumen Perjanjian 1786 itu tidak pernah ditemukan dan tiada dalam simpanan mana-mana pihak. Justeru kesahihan Perjanjian 1786 adalah satu butiran yang diragui.

Tanpa sebarang dokumen bermakna SHTI merampas Pulau Pinang secara tipu daya sahaja.

Asas yang menyatakan Pulau Pinang ialah tanah pajakan ialah kerana kerajaan persekutuan masih membuat bayaran pampasan kepada Kedah dan ia bermula dari zaman SHTI sebelum diteruskan pada zaman British.

Ia berkeadaan begitu juga pada waktu kini.

Kerajaan Persekutuan meneruskan pembayaran tersebut kerana ia termaktub dalam Perkara 167 (7) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut "Persekutuan hendaklah membuat pembayaran tahunan yang sama sebagaimana yang kena dibuat sebelum Hari Merdeka di bawah Perkara II Triti yang dibuat pada 6 Mei 1869 di antara Baginda Ratu pada satu pihak dengan Raja Siam pada satu pihak yang satu lagi berkenaan dengan Negeri Kedah."

Maka walaupun Pulau Pinang dijadikan sebagai salah sebuah negeri dalam Malaysia, kerajaan persekutuan meneruskan bayaran khas sebanyak RM10,000 setahun kepada Kedah.

Namun pada 2018, Putrajaya bersetuju menaikkan bayaran itu kepada RM10 juta setahun.

Kerajaan Persekutuan mungkin tidak mahu memadam sejarah asal-usul pemilikan Pulau Pinang tetapi pada masa sama mengiktiraf bahawa Pulau Pinang adalah sebuah negeri yang berdaulat di bawah Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

Sempadan Kedah-Pulau Pinang

Sebagai sebuah negeri, kerajaan Pulau Pinang mempunyai sempadannya dengan Kedah di sebelah utara dan timur, serta bersempadan dengan Perak di bahagian selatan.

Selat Melaka pula adalah bagi tanah bahagian pulau.

Asalnya batu sempadan di antara Kedah - Pulau Pinang terletak di Kampung Paya Sementol, Pinang Tunggal di Seberang Perai. Ia dipercayai dibina British dan Siam sekitar 1831, dan masih wujud sehingga sekarang.

Bagaimanapun, pada 1985 kawasan sempadan Kedah - Pulau Pinang telah diubah menerusi pindaan undang-undang dikenali sebagai Akta Kedah dan Pulau Pinang (Pengubahan Sempadan) atau Akta 325.

Akta itu menyebut persetujuan dicapai antara Kedah dan Pulau Pinang bahawa bahagian sempadan sedia ada diubah. Bahagian sempadan di sepanjang Sungai Muda diubah untuk berada di sepanjang garis tengah alur air sebagaimana ia mengalir.

Akta itu juga menyebut sekiranya berlaku apa-apa perubahan dalam aliran Sungai Muda disebabkan oleh proses hakisan dan enap timbus secara semula jadi dan perlahan-lahan, sempadan itu hendaklah mengikut juga.

Bahagian Pulau Pinang membabitkan Sungai Muda yang bermula dari garis tengah alur Sungai Muda hingga tebing utara sungai itu.

Begitu juga bagi kawasan darat di sebelah timur yang diwarnakan hijau bersempadan dengan Kulim.

Pada 1822, SHTI secara terang-terangan menunjukkan warna sebenar mereka apabila membantu Siam untuk menyerang Kedah dalam konflik dikenali sebagai Perang Musuh Bisik.

Peperangan yang berlaku selama 20 tahun itu mengakibatkan Sultan Kedah berlindung di Pulau Pinang selepas bumi Kedah dijarah dengan kejam oleh Siam.

Pada 1826 Inggeris mengukuhkan penguasaannya di Pulau Pinang dengan pembentukan Negeri-negeri Selat. Apabila SHTI menjadikan Pulau Pinang sebahagian daripada Negeri-negeri Selat, bermulalah kisah Kedah 'kehilangan' Pulau Pinang kerana SHTI mentadbir Pulau Pinang secara mutlak, bersama Melaka dan Singapura.

SHTI kemudian telah membawa masuk ribuan imigran, mengeluarkan geran tanah dan menjualnya sesuka hati kepada sesiapapun, memberi kebebasan kepada ahli perniagaan asing membina rumah agam, gudang dan rumah kedai dalam bandar Tanjong.

Kebanyakan bangunan dan rumah mewah itu masih kekal sehingga sekarang.

Sebenarnya Kedah terlepas peluang keemasan untuk mendapatkan semula Pulau Pinang sebelum Persekutuan Tanah Melayu menuntut kemerdekaan dan menjadikan ia sebagai negeri dalam perlembagaan persekutuan.

Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang, Mohd Yussof Latiff, berkata pada 1956 Umno Pulau Pinang menghantar memorandum kepada Sultan Kedah agar dia menuntut semula Pulau Pinang menjadi wilayah Kedah.

Umno membuat gesaan itu kerana membantah kegiatan pihak tertentu yang menubuhkan Jawatankuasa Pengasingan Pulau Pinang dan mahukan Pulau Pinang dimerdekakan secara berasingan dan dipisahkan dari Persekutuan Tanah Melayu.

Mohd Yussof berkata, peristiwa penyerahan memorandum kepada Sultan Kedah melalui Umno Kedah itu berlaku ketika Tunku Abdul Rahman berunding dengan British untuk kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

Terdapat masyarakat elit bukan Melayu yang mahu British menjadikan Pulau Pinang sebagai negara merdeka di bawah naugan British. Mereka melancarkan kempen “Gerakan Merdeka Pulau Pinang” untuk mendesak supaya Pulau Pinang dijadikan sebuah negara merdeka dan terpisah daripada Tanah Melayu.

Gerakan Merdeka Pulau Pinang itu dipimpin oleh Presiden Persatuan Cina Negeri-negeri Selat British Pulau Pinang, Heah Joo Seang.

Pada pertengahan Jan 1956, Heah yang juga Presiden Persekutuan Pengusaha Getah Pulau Pinang menemui kerajaan British di London bagi menyerahkan petisyen yang menggesa kuasa besar itu mengkaji semula kedudukan Pulau Pinang dalam Persekutuan Tanah Melayu.

Dia beliau turut memberi penekanan mengenai status kewarganegaraan Negeri Selat British di Tanah Melayu.

Tindakan kumpulan pemisah itu mendapat reaksi orang Melayu dan Umno Pulau Pinang mengadakan mesyuarat tergempar. Naib Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang Mustapha Hamidon membentangkan usul agar Pulau Pinang diserahkan kembali kepada kerajaan Kedah.

Jawatankuasa Pemuda Umno melantik Cikgu Mohamad Nor Ahmad, Haji Abdul Rahim Khan dan Cikgu Noor Ishak sebagai wakil untuk menyerahkan usul itu kepada Istana Kedah melalui Umno negeri di Alor Setar.

Antara kandungan usul itu ialah menggesa agar Istana Kedah menuntut kembali Pulau Pinang sebagai wilayah di bawah kerajaan mereka atas fakta jika benar wujudnya perjanjian 1786 sebenarnya ia telah lama terbatal dan tidak sah.

Hal itu kerana Sultan Kedah membenarkan SHTI menduduki Pulau Pinang dengan syarat syarikat itu memberi perlindungan, dan SHTI pula bersetuju membayar pajakan sebanyak 10,000 wang Sepanyol setiap tahun.

Bagaimanapun perjanjian itu dikhianati pada 1790 apabila SHTI tidak melindungi Kedah daripada serangan musuh, malah bersubahat dengan Siam yang menyerang Kedah.

Menurut Yussof jika benar perjanjian itu wujud sekalipun, ia tidak sah di sisi undang-undang kerana tidak mempunyai tempoh kontrak.

Menurut undang-undang, katanya, sesuatu perjanjian kontrak pajakan wajib mempunyai tempoh sah bermula dan berakhir.

Selain itu, jika benar wujudnya perjanjian itu, ia hanya melibatkan Light yang mewakil SHTI dengan Istana Kedah. SHTI itu ditutup pada 1858 maka bermakna perjanjian tersebut tidak lagi terpakai.

Berdasarkan fakta-fakta dalam usul itu, pajakan Pulau Pinang harus diisytihar batal dan tidak sah. Maka Istana Kedah berhak menuntut kembali Pulau Pinang sebagai wilayah di bawah naugan kerajaan Sultan Kedah.

Bertindak atas memorandum itu, pada 8 Feb 1956, semasa Tunku Abdul Rahman berucap di majlis menandatangani persetujuan kemerdekaan di Lancaster House, London, menyifatkan ia suatu tanda mengembalikan Pulau Pinang kepada tanah Melayu.

Tunku Abdul Rahman berkata, jika datuknya yang memerintah Kedah ketika itu menurunkan tandatangan untuk menyerahkan Pulau Pinang kepada British, kini dia pula menurunkan tandatangan perjanjian memulangkan semula Pulau Pinang kepada Tanah Melayu.

Kenyataan tegas itu ibarat “menutup kes” dan kumpulan pemisah terbabit tidak lagi bersuara sehinggalah akhirnya Pulau Pinang kekal dan menjadi salah sebuah negeri dalam Tanah Melayu, seterusnya merdeka bersama Malaya pada 31 Ogos 1957.

Setelah British bersetuju dengan permintaan Tunku Abdul Rahman, Pulau Pinang termateri sebagai salah sebuah negeri yang membentuk Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan kemudian dimaktubkan sebagai salah sebuah negeri dalam Malaysia mengikut Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan Persekutuan juga menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah ketua agama bagi Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Dalam undang-undang tubuh Pulau Pinang pula, Bab (1) Perlembagaan Pulau Pinang menyebutkan: “Hendaklah ada seorang yang Dipertua Negeri bagi negeri yang hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong yang bertindak menurut budi bicaranya tetapi selepas berunding dengan Ketua Menteri”.

Maka Pulau Pinang dimateri menjadi sebuah negeri yang mempunyai undang-undang tubuh negeri. Namun bagi mengenang sejarah Pulau Pinang yang asalnya adalah milik Kedah, nama Sultan Kedah ke-28, Al-Sultan Al-Mu’tassimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah telah diabadikan pada dua infra terpenting di Pulau Pinang, iaitu Pangkalan Feri Sultan Abdul Halim, dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

Tak wajar pertikai

Suara-suara kononnya Pulau Pinang adalah masih milik Kedah adalah ibarat terlepas bot. Kedah sepatutnya mempunyai peluang untuk menuntut Pulau Pinang sebagai wilayah di bawah naugannya sebelum pembentukan perlembagaan kemerdekaan tetapi ia tidak dibuat sedemikian.

Perkara itu dibangkitkan oleh Umno Pulau Pinang pada 1956 yang mendesak Istana Kedah menuntut semula Pulau Pinang.

Malangnya ia tidak berlaku dan Pulau Pinang dijadikan sebagai salah sebuah negeri yang sah dalam perlembagaan persekutuan menurut Perkara 1(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Jika peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Pulau Pinang dimateri sedemkian rupa bagi mengabsahkan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri dalam persekutuan, tidak wajar bagi mana-mana pihak mempertikaikan lagi kedudukan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri berdaulat dibawah Yang di-Pertuan Agong dan sebahagian daripada negeri dalam persekutuan Malaysia.


AZEMAN ARIFFIN ialah Penolong Setiausaha Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pememang) dan bekas Pengurus Kanan Pertubuhan Bernama.

Tulisan ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS