Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan: PM Kemboja hargai Anwar lepas seteru dihantar pulang dari M'sia
Diterbitkan:  May 31, 2023 10:05 PM
Dikemaskini: 2:05 PM

Pihak berkuasa Malaysia dilaporkan menghantar pulang seorang tokoh pembangkang Kemboja, Sam Rainsy pagi ini setelah menghalang dia dan rombongannya daripada bermesyuarat di Kuala Lumpur.

Menurut laporan akhbar Kemboja Khmer Times, perdana menteri negara itu, Hun Sen berkata Sam masuk ke Malaysia menerusi pesawat peribadi menggunakan pasport Perancis. Langkah itu dikatakan membolehkannya masuk tanpa penelitian pihak berkuasa Malaysia.

Sam sepatutnya bermesyuarat di Kuala Lumpur semalam, namun didakwa dihalang berbuat demikian oleh pihak berkuasa Malaysia.

Akhbar itu memetik Hun menyuarakan penghargaan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim ekoran tindakan itu.

"Terima kasih Anwar Ibrahim, perdana menteri Malaysia, kerana sebanyak empat kali berjanji kepada saya untuk tidak membenarkan (Sam) datang. Dia tidak tahun, mereka datang dengan pesawat peribadi dan guna pasport Perancis...

"Anwar Ibrahim memberitahu saya dengan jelas yang (Sam) tak datang, dan saya beritahu dia jika (Sam) datang, kerajaan (Kemboja) dan kerajaan (Malaysia) akan berpaling dari satu sama lain," katanya seperti dipetik.

Sam merupakan bekas ketua pembangkang Kemboja dan secara sendiri membuang diri ke Paris sejak 2015.

Namun pada 2019 dia mengumumkan rancangan untuk pulang ke Kemboja untuk mengukuhkan pembangkang bagi menentang Hun Sen.

Namun, usahanya untuk pulang dihalang syarikat penerbangan yang enggan membenarkannya menggunakan perkhidmatan mereka, setelah kerajaan Kemboja dilaporkan mengancam syarikat penerbangan yang mereka boleh didakwa sebagai bersubahat dengan rancangan rampasan kuasa.

Thailand - di mana Sam merancang untuk masuk ke Kemboja menerusi jalan darat - turut tidak membenarkan kemasukannya atas permintaan Kemboja.

Kali terakhir Sam membuat kemunculan awam di Malaysia. Ketika itu, dia dan seorang lagi tokoh pembangkang, Mo Sochua bertemu dengan wakil rakyat kerajaan dan pembangkang Malaysia dalam satu pertemuan tidak rasmi di Parlimen.

Mereka datang atas undangan ahli parlimen Permatang Pauh ketika itu, Nurul Izzah Anwar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS