Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mendapat lanjutan dua minggu lagi untuk memfailkan pernyataan pembelaannya terhadap saman fitnah RM150 juta oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Mahkamah Tinggi di Shah Alam memberikan lanjutan untuk membolehkannya memfailkan pembelaan terhadap tindakan sivil berkenaan.
Sekiranya Anwar, tidak dibenarkan lanjutan hari ini, defendan perlu memfailkan pernyataan pembelaan hari ini.
Peguamnya, lliff Benjamin Suhaimi mengesahkan keputusan pengurusan kes di hadapan pendaftar Mahkamah Tinggi awal hari ini.
“Kami dapat (lanjutan bermula hari ini untuk selama) dua minggu. Perkara itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 7 Julai,” kata peguam itu ketika dihubungi media.
Sementara itu, peguam Mahathir, Muhammad Rafique Rashid Ali ketika dihubungi, mengesahkan keputusan lanjutan masa sehingga 14 Jun untuk Anwar memfailkan pernyataan pembelaannya.
Peguam itu berkata bahawa mereka mendapat arahan daripada Mahathir untuk membantah permohonan awal oleh Anwar untuk lanjutan masa sebulan, kerana kes berkenaan adalah perkara kepentingan awam dan amat mendesak untuk saman itu didengar secepat mungkin.
Bagaimanapun, Rafique menambah bahawa mahkamah sivil akhirnya memutuskan untuk memberikan lanjutan dua minggu.
Pada 3 Me lalu, Mahathir memfailkan saman terhadap Anwar berhubung dakwaan bekas perdana menteri itu mengumpul kekayaan untuk kekayaan peribadi semasa berkuasa.
Tindakan sivil itu adalah berhubung ucapan dasar Anwar selaku presiden PKR pada kongres kebangsaan khas parti itu pada 18 Mac.
Melalui tuntutan mahkamah itu, plaintif mendakwa, antara lain, bahawa Anwar membuat kenyataan tidak benar dan tidak berasas dengan niat untuk menimbulkan persepsi negatif terhadapnya
Mahathir juga mendakwa kenyataan itu bukan sahaja merosakkan imej dan reputasinya tetapi turut memalukan dirinya serta ahli keluarganya.
Mahathir menegaskan bahawa anak-anaknya berjaya dalam dunia perniagaan tanpa campur tangan atau sebarang penyalahgunaan kuasa olehnya sebagai perdana menteri ketika itu.
Plaintif menuntut ganti rugi am RM50 juta dan ganti rugi teladan RM100 juta.
Mahathir memohon perintah mahkamah agar Anwar mengeluarkan permohonan maaf bertulis dan penarikan serta-merta dakwaan itu.
Plaintif juga menuntut faedah tahunan lima peratus ke atas ganti rugi yang diberikan untuk dikira dari tarikh memfailkan tindakan sivil sehingga penyelesaian penuh pembayaran pampasan, kos, dan apa-apa relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.