Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah tolak rayuan aktivitis untuk batal kelulusan projek PDF Lynas

Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini menolak permohonan semakan kehakiman daripada aktivis anti-Lynas Tan Bun Teet untuk mencabar kebenaran yang diberikan kepada Lynas Malaysia Sdn Bhd untuk membina kemudahan pelupusan tetap (PDF) Lynas di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan, Pahang.

Dalam keputusannya, Hakim Zainal Azman Ab Aziz berkata Tan tidak terjejas teruk kerana dia bukannya tinggal berhampiran tapak pelupusan tetap di Gebeng.

Menurut Zainal, pada Januari lalu, kerajaan negeri telah memberi hak milik dan meluluskan tapak berkenaan untuk pembinaan PDF manakala tapak kediaman terdekat dengan projek itu adalah sejauh 2.5 kilometer.

“Tiada perlanggaran undang-undang kerana ia memenuhi kelulusan oleh kerajaan negeri dan tidak ada yang tidak sah,” katanya hari ini.

Kebenaran merancang telah diberikan oleh Majlis Bandaraya Kuantan kepada Gading Senggara Sdn Bhd pada 28 Januari 2022 untuk membina PDF bagi melupuskan sisa radioaktif Water Leach Purification (WLP) yang dihasilkan oleh Lynas secara kekal.

Tan sebelum ini memfailkan permohonan itu terhadap tiga pihak – Jawatankuasa Perancang Negeri Pahang yang menyemak cadangan pembangunan yang dikemukakan Gading Senggara untuk pembinaan PDF dan kebenaran merancang; Majlis Bandaraya Kuantan dan Gading Senggara.

Dalam permohonannya, Tan, meminta perintah mahkamah bahawa kebenaran merancang yang diberikan oleh majlis bandaraya kepada Gading Senggara perlu mematuhi peruntukan mandatori Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 yang menjadikan kebenaran yang diberikan itu terbatal dan tidak berkuat kuasa.

Tan yang juga adalah pengerusi kumpulan pencinta alam sekitar Save Malaysia Stop Lynas (SMSL) turut memohon mahkamah supaya membatalkan kebenaran merancang pembinaan PDF itu.

Bercakap kepada Malaysiakini, peguam pemohon Gurdial Singh Nijar berkata kes itu membangkitkan isu yang biasa berkaitan kelulusan perancangan untuk projek sebegini yang mempunyai implikasi besar kepada undang-undang perancangan.

“Kami diarahkan untuk merayu,” jawabnya ringkas.

Sementara itu, Tan berpendapat bahawa keputusan penghakiman tersebut boleh dipertikaikan.

“Walaupun kami kecewa, kami tetap akan teruskan dan kami akan membuat rayuan,” katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS