Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bicara penuh kes Zaid saman Badan Peguam, presidennya Dis 2024

Mahkamah menetapkan selama enam hari pada Disember tahun depan untuk perbicaraan penuh kes saman fitnah bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim dan dua peguam kanan lain terhadap Badan Peguam Malaysia dan presidennya Karen Cheah.

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini menetapkan tarikh perbicaraan pada 3 hingga 6 Dis dan 10 hingga 11 Dis 2024.

Ketika dihubungi petang ini, Rueben Mathiavaranam - yang merupakan salah seorang plaintif - mengesahkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan semasa pengurusan kes saman sivil itu di hadapan pesuruhjaya kehakiman Roz Mawar Rozain.

Semasa pengurusan kes hari ini, peguam Ong Kang Nyong dan Kathleen Samantha George mewakili tiga plaintif yang merupakan rakan kongsi kanan firma guaman Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (Zist), iaitu Zaid, Rueben dan Liew Teck Huat.

Pada 30 Sept tahun lepas, Zaid dan dua lagi plaintif terbabit memfailkan saman fitnah berhubung dakwaan salah laku berkaitan rayuan Najib Razak dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta.

Saman sivil itu adalah berkaitan kenyataan akhbar Cheah yang dikeluarkan pada 19 Ogos tahun lepas.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara, selepas mahkamah persekutuan menolak rayuannya pada 23 Ogos tahun lepas.

Menerusi writ saman itu, ketiga-tiga plaintif mendakwa siaran akhbar itu diterbitkan di laman web Badan Peguam Malaysia tanpa sebarang notis mahupun pengesahan diminta daripada mereka terlebih dahulu.

Plaintif mendakwa pengeluaran kenyataan media itu merupakan pelanggaran kewajipanberkanun di pihak Badan Peguam dan Cheah.

Mereka antara lain mendakwa, sebarang aduan salah laku sepatutnya dibuat dan dirujuk kepada Lembaga Tatatertib Peguambela dan Peguam Cara mengikut Seksyen 99(1) Akta Profesion Undang-undang (LPA) 1976.

Melalui tindakan undang-undang tersebut, plaintif menuntut ganti rugi am dan teruk, faedah, dan injunksi kekal untuk menghalang Badan Peguam dan Cheah daripada terus menerbitkan perkataan berunsur fitnah.

Ketiga-tiga mereka juga memohon beberapa deklarasi, antaranya bahawa penyiaran kenyataan media itu bukanlah kaedah atau forum yang betul atau tepat bagi sebarang dakwaan salah laku dan melanggar peruntukan LPA.

Menerusi pernyataan pembelaan mereka yang difailkan pada 30 Dis tahun lepas, Badan Peguam berhujah bahawa ia mempunyai kewajipan berkanun untuk memaklumkan orang ramai berhubung kelakuan peguam Najib semasa rayuan bekas perdana menteri itu.

Badan berkanun itu mendakwa bahawa kenyataan akhbar yang dikeluarkan Cheah juga tidak berprasangka terhadap Zaid dan dua peguam lain sebelum prosiding tatatertib ketiga-tiga mereka oleh Lembaga Disiplin Peguambela dan Peguam Cara (DB).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS