Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN | Semenjak pengumuman kenaikan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate - OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dari kadar 2.75 peratus kepada 3.0 peratus berkuatkuasa pada 3 Mei 2023, isu ini mendapat perhatian ramai pihak dengan pelbagai pendapat, pandangan dan tidak kurang juga yang melemparkan pelbagai tuduhan.

Ahli-ahli parlimen yang menghadiri sidang Dewan Rakyat yang berlangsung ketika ini juga tidak terlepas daripada membangkitkan isu kenaikan OPR.

Perdana Menteri YAB Anwar Ibrahim selaku menteri kewangan terpaksa sekali lagi menjawab serta menghuraikan asas kepada keputusan kenaikan ini sebagaimana yang dilaporkan oleh The Star pada 25 Mei 2023.

Apa yang menarik perhatian ialah penyataan yang dibuat oleh Pengerusi Kebangsaan DAP, YB Lim Guan Eng berkaitan isu OPR ini.

Beliau mengatakan kenaikan OPR ini hanya menguntungkan pihak bank sahaja.

Sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, penyataan seumpama ini mungkin dilihat dari pelbagai sudut oleh masyarakat; kemungkinan tiada perbincangan diperingkat kerajaan, kemungkinan juga untuk meraih populariti dikalangan masyarakat, atau mungkin juga telah diatur sedemikian rupa (planted) untuk membolehkan penjelasan diberikan oleh menteri kewangan.

Jika penyataan seumpama itu datangnya daripada pihak pembangkang, ianya sesuatu yang boleh dijangkakan.

Walau bagaimanapun, apa jua hasrat atau tujuan sebenar penyataan dari ahli parlimen Bagan tersebut, isu OPR ini dijangka akan terus dipolemikkan menjelang pilihan raya negeri (PRN) 2023 di enam buah negeri (Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan) yang dijangka akan diadakan tidak berapa lama lagi.

Selain daripada isu kenaikan OPR, dijangkakan ada isu-isu lain yang akan menjadi ‘bahan kempen’ menjelang PRN di enam buah negeri tersebut.

Mungkin antara isu yang akan menjadi perhatian adalah berkaitan cadangan kenaikan caruman KWSP oleh majikan dari 13 peratus kepada 20 peratus, juga fasiliti atau kemudahan pengeluaran wang KWSP, isu penarikan balik rayuan penggunaan kalimah Allah, kebenaran penganjuran konsert Coldplay, isu gaji minima, selain dari isu-isu setempat seperti isu air di Kelantan, isu penambakan tanah di Pulau Pinang, hatta kemerosotan pungutan pingat oleh kontinjen Malaysia di Temasya Sukan SEA 2023.

Pada pandangan saya, ianya adalah satu perkara yang biasa bagi mana-mana pihak sama ada kerajaan atau pembangkang untuk memainkan isu-isu seumpama ini menjelang pilihanraya.

Apa yang penting adalah untuk mana-mana pihak memberi penerangan serta penjelasan yang sebetulnya kepada rakyat.

Gambar fail, konsert Coldplay.

Besar kemungkinan penjelasan yang diberikan adalah mengikut neraca atau sisi pandang penceramah dan dari mana pertaliannya sama ada prokerajaan atau sebaliknya.

Apapun saya percaya para pengundi sudah semakin bijak dan matang untuk menilai sesuatu isu serta maklumat yang disampaikan dengan adanya pelbagai saluran media yang dapat dirujuk, khususnya oleh pengundi-pengundi muda (saluran empat dan ke atas).

Bagi pengundi yang agak berusia, khususnya yang berada di luar bandar, adalah diharapkan agar anak-anak mereka dapat menyampaikan maklumat yang selayaknya kepada ibubapa mereka.

Pilihan bijak, bermaklumat

Melalui pendedahan dan penyampaian maklumat yang betul, para pengundi boleh dan akan membuat pilihan yang bijak.

Justeru, saya menyeru agar semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing dengan menyampaikan maklumat yang betul dan tepat demi kemakmuran dan kesejahteraan negara tanah tumpah darah kita yang tercinta ini.


PROF MADTA DR AMANUDDIN SHAMSUDDIN ialah Dekan Uniten Business School (UBS), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN). Beliau boleh dihubungi di [email protected]

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS