Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang wanita kerana disyaki terlibat dalam penipuan skim pelaburan yang menggunakan nama sebuah bank antarabangsa, pada 25 Mei lepas.
Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Saaduddin berkata suspek yang merupakan warga emas berusia 60 tahun berkenaan merupakan suspek utama bagi kes ini.
Beliau berkata PDRM juga menerima dua laporan polis berhubung kes ini.
“Berdasarkan siasatan, skim pelaburan ini mula beroperasi sejak awal tahun 2023 dan menawarkan pulangan sebanyak 30 peratus hingga 70 peratus daripada modal pelaburan yang dikeluarkan.
Skim pelaburan ini turut menawarkan slot-slot saham yang menjanjikan keuntungan sehingga 100 peratus dalam tempoh 72 jam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noorsiah berkata walau bagaimanapun, setelah mangsa membuat pindahan wang, keuntungan yang dijanjikan tidak dibayar.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu manakala suspek direman selama lima hari bermula 26 Mei hinggan esok di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
“Hasil semakan mendapati suspek juga mempunyai rekod lampau berkait dua kes penipuan pelaburan berkaitan penjualan minyak diesel.
Orang ramai yang mungkin menjadi mangsa skim pelaburan ini diminta tampil segera membuat laporan polis di mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Beliau berkata PDRM menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan sentiasa membuat semakan secara terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan.
“Orang ramai juga diminta mendapatkan maklumat lanjut daripada sumber-sumber rasmi seperti portal semak mule, ‘alert list’ Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti sebelum membuat keputusan untuk menyertai skim pelaburan yang meragukan,” katanya.
- Bernama