Paling Popular
Terkini

ULASAN l Presiden PAS, Abdul Hadi Awang telah dicabar oleh seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno untuk mendedahkan identiti individu yang menawarkan kepada partinya untuk menyertai kerajaan perpaduan. 

Saya tidak terkejut sekiranya Hadi gagal untuk mendedahkan identiti individu ini kerana individu ini tidak wujud, sama seperti apabila Hadi gagal untuk memberikan sekelumit bukti pun untuk pelbagai tuduhan liar dan tidak masuk akal yang dilemparkannya terhadap DAP dan saya sebelum ini. 

Hadi telah menuduh DAP dan saya sebagai kononnya mempromosikan Islamofobia. Sekiranya betul, Hadi telah gagal dalam tanggung jawabnya sebagai duta khas ke Timur Tengah untuk dua orang perdana menteri apabila dia gagal melaporkan insiden Islamofobia ini kepada Badan Pemerhati Islamofobia Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). 

Gambar Hiasan - Abdul Hadi Awang

Tambahan lagi, dia juga gagal dalam menjalankan tanggung jawabnya sebagai seorang ahli parlimen untuk membangkitkan perkara ini di Parlimen, kerana sangatlah tidak diterima untuk Islamofobia dibiarkan di dalam mana-mana dari 57 negara OIC.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, telah menafikan dakwaan Hadi yang mengatakan PKR menawarkan parti tersebut untuk menyertai kerajaan. 

Rafizi mengatakan yang dia tidak pernah mendengar apa-apa mengenai jemputan sedemikian walaupun dia terlibat secara langsung dalam usaha pembentukan kerajaan selepas pilihan raya umum ke-15. 

Agak memalukan untuk Hadi dimaklumkan oleh Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, untuk berhenti berangan mengenai tawaran kononnya PAS diundang menyertai kerajaan perpaduan Anwar. 

Gambar Hiasan - Anwar bersama pemimpin BN, GPS dan Muda

Hadi menegaskan yang PAS patut diberikan peranan dominan memandangkan mereka mempunyai jumlah kerusi terbanyak dari kalangan semua parti. 

Adakah Hadi hendak menjadi perdana menteri?

Perkara ini menunjukkan ketiadaan kejujuran Hadi dalam cubaan menyertai kerajaan perpaduan kerana dia lebih berminat dengan dominasi PAS dan bukannya perpaduan. 

Atau adakah Hadi tersilap baca cadangan saya untuk PAS bekerjasama dengan kerajaan perpaduan Anwar untuk menyelesaikan masalah-masalah yang telah lama berlanjutan, seperti masalah air selama 60 tahun dan masalah kekurangan pembangunan di Kelantan, Terengganu, dan Kedah sebagai satu jemputan rasmi untuk Hadi atau PAS menyertai kerajaan perpaduan Anwar?

Gambar Hiasan - Abdul Hadi Awang

Tidak mungkin untuk Hadi tidak sedar mengenai penjelasan saya bahawa perkara ini adalah idea peribadi saya dan bukannya cadangan dari DAP atau kerajaan perpaduan Anwar kerana saya tidak berbincang mengenai perkara ini dengan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, atau mana-mana pemimpin DAP yang lain, apatah lagi dengan para pemimpin atau menteri dari kerajaan perpaduan Anwar. 

Walaupun saya menyokong idea untuk PAS menyertai kerajaan perpaduan Anwar, PAS perlu menunjukkan yang mereka bersedia untuk menunjukkan perubahan dengan menyokong titah Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong yang menyeru supaya adanya kestabilan politik dan perpaduan nasional dalam negara.

Sebagai permulaan, adakah Hadi bersedia untuk menarik semula dan memohon maaf untuk pelbagai tuduhan liarnya sebelum ini yang dibuat terhadap DAP dan saya?

Kedua, adakah Ahli-ahli Parlimen PAS akan menunjukkan yang mereka akan berhenti memainkan isu-isu perkauman dan keagamaan dan sebaliknya menjadi contoh tauladan sebagai ahli parlimen yang menyokong kestabilan politik dan perpaduan nasional?

Ketiga, adakah PAS akan menyokong matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia?


LIM KIT SIANG ialah seorang veteran DAP.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS