Bekas pemimpin Umno Khairy Jamaluddin memfailkan saman fitnah berjumlah RM1 juta terhadap Ketua Umno Sungai Besar Jamal Md Yunos.
Peguam Khairy memfailkan saman tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 Mei lalu.
Writ saman bekas menteri itu berkisar sidang media Jamal ketika Perhimpunan Agung Umno di World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur pada 14 Januari lalu.
Ketika sidang media itu, Jamal dilaporkan berkata dia akan membuat aduan kepada lembaga disiplin Umno terhadap Khairy berhubung dakwaanya ada usaha untuk membawa "pengundi hantu" ke perhimpunan itu.
Kemudian, pada 27 Januari, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mengumumkan Khairy dan beberapa pemimpin lain dipecat berhubung tuduhan melanggar disiplin parti ketika PRU15.
Menurut salinan pernyataan tuntutan saman itu yang dilihat Malaysiakini, Khairy antara lain mendakwa kenyataan Jamal ketika sidang media itu membayangkan dia sebagai individu yang tiada integriti dan kewibawaan sebagai pemimpin dan terlibat dengan rasuah untuk menimbulkan perpecahan dalam kalangan anggota Umno demi kepentingan peribadi.
Khairy mendakwa kenyataan itu - yang didakwanya dibuat dengan niat jahat dan tanpa asas - bukan sahaja menjejaskan kewibawaan dan karakternya, tetapi turut mengakibatkan dia hilang peluang perniagaan dan kehilangan kepercayaan masyarakat untuk menerajui sebarang organisasi.
Khairy menuntut ganti rugi khas berjumlah RM1 juta serta ganti rugi am, teruk dan teladan.
Selain itu, dia menuntut relif-relif lain seperti arahan kepada Jamal untuk menarik balik kenyataan yang dibuat dari akaun Facebook dan TikTok miliknya.
Dia juga menuntut arahan agar Jamal membuat permohonan maaf di dua media sosial itu serta di akhbar yang akan ditentukannya sendiri.
Ketika dihubungi Malaysiakini, wakil firma guaman yang mewakili Khairy mengesahkan pengurusan kes saman itu akan dibuat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur esok.
Malaysiakini sedang menghubungi pasukan peguam Jamal berhubung perkara ini.