Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM umum peruntukan RM5 juta pada Majlis Belia Malaysia

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM5 juta kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) setahun bagi memperkasakan golongan muda untuk memacu negara.

Anwar berkata keyakinan dan kesungguhan kepimpinan Presiden MBM Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid telah menjayakan Negara Madani, dengan keyakinan serta sokongan padu para belia di negara ini.

"Kesungguhan pimpinan MBM, termasuk menjayakan Negara Madani dengan keyakinan dan ilmu, maka saya setuju peruntukan RM5 juta setahun. MBM istimewa kerana badan-badan yang mewakilli persatuan, kaum, agama boleh menyatukan para belia dengan semangat perpaduan.

“MBM penting dalam menyelamatkan negara kita dalam membina kekuatan baru," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2023 di Padang Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun serta Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh Tseow Suan.

Anwar berkata MBM perlu memperincikan laporan mengenai hala tuju, menerusi peruntukan yang diumumkan itu, dan dia mahukan dalam tempoh sebulan ini, MBM memberikan laporan mengenai rancangan pertubuhan itu bagi menambah keanggotaan para belia.

"Keduanya memastikan penyertaan wanita di semua peringkat termasuk pimpinan MBM, bermula dengan penyertaan 30 peratus, dan ketiganya memperhebatkan program, ekonomi, latihan serta kebajikan termasuk kesedaran belia dalam menunaikan tanggungjawab mereka dalam negara ini," katanya.

Anwar berkata para belia perlu mempunyai keyakinan, idealisme, berprinsip, menghormati antara satu sama lain dan tolak segala rasuah.

"Anak muda sekarang mesti sedar bahawa masa depan mereka tentukan, dengan syarat mereka mempunyai komitmen, sikap mahu menimba ilmu dan menolak kemungkaran, tolak rasuah dan kezaliman dan angkat martabat rakyat," katanya.

Bersempena Hari Belia Negara kali ini yang bertemakan 'Ini Masa Kita', Anwar berkata jangan ada pula yang menggunakan agama dan kaum untuk merosakkan negara.

Anwar yang pernah memimpin MBM pada era 70-an berkata menerusi semangat dan prinsip MBM terdahulu, ia menyebabkan dia tegas untuk memerangi rasuah pada hari ini.

Perdana menteri turut melancarkan Model Pembangunan Belia Madani 2030 (MPBM2030) yang menjadi pelengkap kepada Dasar Belia Malaysia, dan selari dengan dasar nasional terkini di majlis hari ini.

MPBM2030 dibangunkan berdasarkan aspirasi golongan belia yang terkesan akibat pandemik Covid-19 memberikan penekanan kepada empat teras, 11 objektif, 14 strategi dan 39 inisiatif.

Model ini disasarkan dapat melahirkan warganegara belia yang dinamik, kompeten, berdaya saing dan berdaya tahan dalam mendepani cabaran masa kini serta perubahan masa hadapan.

Sementara itu perdana menteri berkata syarikat berkaitan kerajaan seperti Khazanah Nasional Bhd dan Petronas dicadangkan supaya dilibatkan dalam program latihan belia yang memberikan tumpuan dalam aspek kepemimpinan.

Anwar berkata dia akan membawa cadangan berkaitan program latihan di institut latihan belia di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ke peringkat jemaah menteri untuk diluluskan dalam masa terdekat.

"Saya akan bawa untuk pertimbangan jemaah menteri dalam masa terdekat supaya agensi-agensi terlibat, baik Perkeso, Khazanah, Petronas; untuk turut terlibat dalam program latihan di institut latihan belia di bawah KBS,” katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS